Berita :
'Longgarkan Syarat Elak Nelayan Baharu Terhimpit'
'Longgarkan Syarat Elak Nelayan Baharu Terhimpit'
Ahmad Zaeem Zainudin
2 jam yang lepas
49

KUALA TERENGGANU, 1 Mei - Syarat mewajibkan nelayan baharu turun ke laut sekurang-kurangnya 120 hari sebelum layak memohon minyak bersubsidi dilihat tidak lagi praktikal dalam situasi semasa, khususnya dengan peningkatan kos operasi yang semakin membebankan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Asas Tani, Komoditi dan Keterjaminan Makanan Negeri, Dato' Dr. Azman Ibrahim berkata, cadangan supaya syarat tersebut dilonggarkan telah dibangkitkan oleh Pengerusi Persatuan Nelayan Terengganu (Penentu), Mat Yassin Mohamed.

Menurut beliau, cadangan itu berpijak kepada realiti sebenar yang dihadapi nelayan baharu yang kini berdepan kekangan modal untuk turun ke laut.

"Dengan harga petrol sekarang ini, nelayan tak mampu untuk turun ke laut. 50 liter petrol tak mencukupi untuk kegunaan sebuah sampan fiber dengan enjin 40 kuasa kuda.

"Kalau tak ada modal nak turun ke laut maka sampai bila-bila pun mereka tak layak nak mohon minyak bersubsidi," katanya.

Ulasnya lagi, keadaan tersebut mewujudkan satu kitaran yang menyukarkan nelayan baharu apabila mereka tidak mampu memenuhi syarat kelayakan akibat kekangan kewangan.

Oleh yang demikian, jelasnya, situasi itu menjejaskan peluang bagi golongan nelayan baharu untuk mendapatkan subsidi yang sepatutnya membantu mereka.

Sehubungan itu, beliau memandang serius cadangan berkenaan dan menyifatkannya sebagai munasabah serta berasaskan situasi semasa industri perikanan.

"Saya nilai pandangan ini berpijak di bumi nyata dengan situasi sekarang. Insya-Allah kita akan bawa ke atas," ujarnya.


Ketupat

Artikel Berkaitan