Jalur Gemilang
Berita :
Pelabur Baharu Berpotensi Ambil Alih Projek Lada Hitam McCormick
Pelabur Baharu Berpotensi Ambil Alih Projek Lada Hitam McCormick
Mastura Jamal Din
8 jam yang lepas
169

KUALA TERENGGANU, 17 November – Kerajaan Negeri Terengganu sedang mengenal pasti pelabur baharu bagi mengambil alih operasi perladangan lada hitam di Lembah Bidong, Setiu susulan keputusan McCormick menamatkan operasinya di Malaysia bermula 31 Januari 2027.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dato' Dr. Azman Ibrahim berkata, terdapat pihak yang berpotensi telah mengadakan lawatan serta perbincangan awal bagi menyatakan minat mengambil alih dan meneruskan projek berkenaan.

Menurutnya, pelabur terbabit dikenal pasti mempunyai kemampuan kewangan serta keupayaan lain untuk memastikan kesinambungan industri lada hitam yang telah bertapak di kawasan itu.

"Alhamdulillah, ada pihak berpotensi yang telah masuk melawat dan berbincang. Mereka mempunyai kemampuan dari segi kewangan dan menyatakan minat yang sangat mendalam untuk mengambil alih serta meneruskan projek lada hitam.

"Fokus kerajaan negeri sekarang adalah memastikan industri lada hitam di Lembah Bidong dapat diteruskan dengan adanya pihak lain yang mengambil alih," katanya susulan keputusan McCormick untuk menghentikan operasi perladangannya di Terengganu dan Malaysia secara berperingkat selama enam bulan sehingga 30 Jun 2027.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Langkap, Azmi Maarof pada Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelima Belas (Bajet), di sini hari ini.

Menurut Dr. Azman, keputusan besar itu adalah commersial decision ataupun keputusan komersial yang dibuat oleh pengurusan tertinggi McCormick di US setelah berlaku penggabungan di antara McCormick dan juga Unilever Food.

"Ini keputusan HQ McCormick di US, bukan keputusan di Malaysia dan juga bukan keputusan di Terengganu," ujar beliau lagi.

 Bagaimanapun, katanya, perkembangan positif turut dicapai apabila McCormick menyatakan kesediaan untuk terus membeli hasil lada hitam yang dikeluarkan selepas syarikat itu tidak lagi terlibat secara langsung dalam sektor perladangan.

Jelasnya, langkah itu membolehkan McCormick meneruskan penglibatan dalam industri pemprosesan produk berasaskan lada hitam meskipun tidak lagi mengendalikan aktiviti penanaman.

"Maknanya mereka telah menghentikan penglibatan dalam sektor perladangan tetapi masih meneruskan peranan dalam industri pemprosesan produk berasaskan lada hitam," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan negeri akan memperincikan langkah seterusnya bersama Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri, Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri dan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), khususnya berkaitan terma perjanjian sedia ada.

Katanya, perjanjian berkenaan mempunyai klausa penamatan secara persetujuan bersama (mutual termination) yang akan diteliti sebelum sebarang keputusan lanjut dibuat.

Dalam perkembangan berkaitan, seramai 180 pekerja masih berkhidmat dalam projek berkenaan dan 70 peratus daripadanya atau 126 orang merupakan anak tempatan Terengganu, termasuk 62 anak jati Setiu.

"Pekerja-pekerja akan melalui proses penamatan secara berperingkat setiap bulan dan dari segi hak pekerja, mereka akan dibayar pampasan di antara dua bulan gaji sehingga empat bulan gaji," katanya.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan