• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Aputirich Venture Plt Yakin Jualan Terus Meningkat

KUALA TERENGGANU, 22 Oktober— Ketika pandemik COVID-19 terus mengganas, banyak industri di seluruh dunia terjejas teruk akibat daripada kelembapan berterusan ekonomi, Aputirich Venture Plt, sebuah syarikat pengeluar produk berasaskan herba dan perunding kesihatan mampu meningkatkan hasil jualan mereka sehingga  mencapai RM370,000 dalam tempoh berkenaan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Rais Abdullah, beliau kini optimis untuk menyasarkan jualan sebanyak RM500,000 menjelang akhir tahun ini berdasarkan pendapatan yang telah diperolehi.

“Walau banyak perniagaan lain terjejas disebabkan wabak ini, jualan syarikat kami masih memuaskan kerana pelanggan yang gembira dengan perubahan kesihatan mereka melakukan promosi mulut ke mulut secara sukarela.

“Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lepas sehingga kini jualan kami  meningkat hampir empat kali ganda berbanding tempoh sama tahun lepas, dan merupakan hasil luar jangkaan,”ujarnya kepada pemberita di sini hari ini.

Justeru itu katanya, syarikat yang memfokuskan penerangan pemakanan sihat, pengurusan psikologi serta penggunaan sumber bahan semulajadi seperti herba kepada orang ramai juga akan memperluaskan pasaran produk ke Singapura, Indonesia, Brunei dan Dubai bermula tahun depan.

“Penggunaan serta perubahan herba dalam kehidupan makin diterima pada hari ini  kerana khasiatnya telah diiktiraf di peringkat antarabangsa," katanya yang memilih Terengganu sebagai tempat mencari rezeki setelah merantau di negera luar.

Syarikat yang ditubuhkan pada tahun 2011 itu kini mempunyai tiga jenis produk iaitu RS24 (kapsul nutrisi semulajadi untuk ketahanan sistem imun badan), RS08 (minuman koko untuk masalah sembelit) dan RS04 (serbuk untuk masalah saraf serta angin dalam badan) yang berharga lingkungan RM139 hingga RM249 setiap satu.

Jelas anak kelahiran Kedah itu, semua produk keluaran syarikatnya mempunyai kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Amalan Perkilangan Baik (GMP) dan pengesahan halal dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia. 

“Syukur dengan semua kemudahan ini termasuklah bantuan dari Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu kerana memberi bantuan sebanyak RM1,500 untuk pelabelan dan pembungkusan produk pada tahun 2014," katanya.

Lulusan Ijazah Sarjana (M.D) Psikologi di Universiti Andalas, Padang, Indonesia itu juga berhasrat untuk melahirkan lebih ramai rakyat Malaysia yang sihat berasaskan sumber semulajadi termasuk melahirkan usahawan-usahawan dalam bidang ini.

Berpengalaman selama 17 tahun dalam bidang perniagaan peringkat antarabangsa terutama di Singapura dan Indonesia sebelum berpindah balik ke Malaysia pada 2008, Dr Rais juga merupakan pengasas  kelab bola sepak iaitu Lion FC yang ditubuhkan pada tahun 2018.

 “Sukan adalah satu platform terbaik bagi membuat promosi dan pengiklanan sesuatu produk dan sebab itu saya memilihnya sebagai salah satu strategi pemasaran yang berpotensi bagi memperkenalkan produk saya.

“Setiap kali perlawanan diadakan, secara tidak langsung lebih ramai yang akan mengenali produk yang saya hasilkan dan itu merupakan satu kelebihan dalam pemasaran Aputirich Venture Plt,”ujarnya .

Beliau  turut menasihatkan agar usahawan lebih kreatif mengiklan produk mereka melalui pelbagai medium untuk terus bertahan dalam perniagaan.