• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Atlet Para Terengganu Gembira Terima Vaksin

KUALA TERENGGANU, 3 Julai - Seramai 85 atlet para Terengganu menerima dos pertama vaksin, bermula Khamis lalu dalam persiapan ke temasya Para Sukan Malaysia (Para SUKMA) yang telah dianjakkan pada 2022 nanti.

Pegawai Pembangunan Sukan Orang Kurang Upaya (OKU), Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu, Fikri Mahmud memaklumkan, kerjasama antara pihak JBSN Terengganu bersama kerajaan negeri melalui Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) membantu mempercepatkan kadar penerimaan vaksin bagi Fasa kedua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang kini menyasarkan masyarakat golongan kurang upaya(OKU). 

"Terima kasih kepada kerajaan negeri Terengganu khususnya kerana telah memberi kerjasama yang begitu baik dengan memberi peluang atlet-atlet para negeri Terengganu menerima vaksinasi pada kadar segera.

"Hari ini, mereka semua ini nampak begitu gembira setelah divaksin. Saya begitu terharu kerana apabila atlet-atlet kita telah di vaksin, keyakinan diri mereka untuk menjalani latihan bagi menghadapi Para SUKMA di Johor nanti semakin tinggi," katanya ketika ditemui di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Terengganu Trade Centre (TTC), baru-baru ini.

Jelasnya, rata-rata para atlet yang berkelainan upaya khususnya mempunyai masalah komunikasi dalam pendaftaran program vaksin dan usaha ini memebolehkan mereka juga tidak terkecuali meneruskan kehidupan bersama komuniti setempat sewaktu pandemik COVID-19 yang masih belum bernoktah.

Atlet memanah wheelchair, Nurhaslina Suria Mohamed, 38, selesai mendapatkan dos pertama vaksin.

"Setakat ini, semua atlet para memang tidak mengadakan latihan berpusat, cuma masing-masing membuat latihan ringan di rumah berpandukan kepada jurulatih masing-masing.

"Kita masih lagi menunggu keputusan dari Majlis Sukan Negara (MSN) sama ada Para SUKMA di Johor itu akan diteruskan atau tidak. Sekiranya ada tarikh ditetapkan, insya-Allah kita akan mulakan latihan kepada atlet," katanya.

Tambahnya, sesi latihan pasca pandemik tidak menjadi masalah berikutan kebanyakan acara yang adatidak melibatkan sentuhan langsung dan lebih kepada individu seperti memanah, bocia dan sebagainya.

"Jadi saya rasa tiada masalah dari segi untuk kita laksanakan latihan," katanya.

Atlet boling padang para Terengganu, Fadhlullah Mazdan, 28 mendapatkan suntikan dos pertama di PPV TTC.