lightning-solid
Berita :
Atlet Terengganu Sumbang 27 Pingat di Sukan SEA
Atlet Terengganu Sumbang 27 Pingat di Sukan SEA
Ahmad Zaeem Zainudin
2 jam yang lepas
81

KUALA TERENGGANU, 22 Disember - Atlet Terengganu mencatat pencapaian membanggakan apabila menyumbangkan sebanyak 27 pingat keseluruhan pada temasya Sukan SEA Thailand 2025.

Daripada jumlah tersebut, atlet Terengganu berjaya menghadiahkan enam pingat emas, sembilan perak dan 12 gangsa, hasil usaha gigih atlet serta sokongan padu pasukan kejurulatihan yang terlibat.

Kontijen Malaysia, dengan kutipan sebanyak 231 pingat (57 emas, 57 perak dan 117 gangsa) telah melayakkan negara untuk berada di kedudukan keempat carta pingat Sukan SEA.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan Dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Negeri, Hishamuddin Abdul Karim merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang telah menyumbang terhadap pencapaian berprestij tersebut.

"Tentunya setinggi-tinggi tahniah buat semua atlet dan pasukan kejurulatihan yang telah bertungkus lumus memartabatkan nama negara.

"Tahniah juga buat semua atlet Malaysia yang berasal dari Terengganu, gigih menggalas tanggungjawab demi mengharumkan nama negara," ucapnya melalui satu hantaran Facebook, sebentar tadi.

Beliau berharap pencapaian tersebut dapat menjadi pemangkin kepada penyertaan lebih ramai atlet Terengganu dalam temasya sukan peringkat antarabangsa pada masa akan datang.

"Semoga atlet-atlet Terengganu makin ramai terpilih mewakili Malaysia dalam temasya sukan lain selepas ini dan memberikan yang terbaik buat negara," tambahnya.

Dalam pada itu, Hishamuddin juga menegaskan bahawa jalinan kerjasama antara semua pihak akan terus diperkasakan demi memastikan kecemerlangan sukan negara dapat dikekalkan secara berterusan.

"Mengambil pedoman pembangunan sukan di Thailand, fasiliti yang dibangunkan secara bekerjasama antara pihak kerajaan, pusat pendidikan dan swasta amat wajar dibangunkan secara rancak. 

"Fasiliti sukan yang lengkap dan pelbagai inilah yang bakal memperkukuhkan pembangunan sukan di tanahair. 

"InsyaAllah, kami akan terus mempertingkatkan hubungan dengan semua pihak demi kepentingan ini," ujarnya.


Artikel Berkaitan