• 29 Apr 2024 | 20 Syawal 1445

Awani Junior Cungkil Bakat Pelajar Jadi Wartawan






Oleh : Adli Mohamad

DUNGUN, 24 April - Awani Junior yang ditubuhkan Sekolah Menengah Kebangsaan Balai Besar  merupakan platform bagi melahirkan wartawan serta menyerlahkan bakat serta menzahirkan keberanian pelajar..

Pengerusi TV Pusat Sumber Sekolah (PSS), Nurul Aishah Mohd Yusof berkata, setiap liputan program akan dirakam dan dihantar ke Awani yang mana disiarkan melalui saluran 501 di kaca televisyen.

"Awani Junior ini ditubuhkan melalui TV PPS ianya bernaung di bawah program Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Terengganu dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu.

"Ianya ditubuhkan pada 2016 dan melalui program ini di sebalik melatih bakat dan menjadikan mereka berani, para pelajar berpeluang mendapatkan ilmu yang tidak didapati di dalam bilik darjah ataupun di dalam kelas," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media pada program Jom Baca Selama 10 Minit yang dirasmikan Oleh Ahli Jawatankuasa Persatuan Isteri-isteri Wakil Rakyat dan Bekas Wakil Rakyat Terengganu (Khairunnisa), Siti Zaleha Mohd yang didakan di Perpustakaan Awam Daerah Dungun, semalam.

Nurul Aishah berkata, Kelab Awani Junior berkenaan sering membuat liputan ke program-program yang dianjurkan selain dari JPNT sendiri turut ke program yang dianjurkan oleh agensi-agensi luar.

"Kerana kami sentiasa bersedia untuk hadir ke mana-mana program, jika tidak bertembung dengan program sekolah, sebagaimana program hari ini mereka berpeluang untuk menemuramah Ajk Khairunnisa juga merupakan isteri kepada Yang Berhormat Ahli Parlimen Dungun, Ustaz Wan Hassan Mohd Ramli di samping tetamu-tetamu kenamaan yang lain, "ujarnya.

Tambahnya, pelajar yang menyertai Awani Junior merupakan pelajar yang tidak terlibat dengan peperiksaan Penilaian Tingkatan Tiga (PT3) dan juga Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) terutama di Tingkatan Dua dan Empat sahaja.

Katanya, peserta program itu juga dilihat begitu aktif, berani dan berketrampilan serta cemerlang dalam pelajaran mereka.

Tag: