• 28 Apr 2024 | 19 Syawal 1445

KUALA BERANG, 9 Oktober- Kerajaan negeri Terengganu mengalu-alukan mana-mana pihak yang ingin mengadakan sebarang program mahupun aktiviti di Pulau Poh, Kenyir.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Hishamuddin Abdul Karim, pihak kerajaan tidak menghalang bahkan menggalakkan penganjuran aktiviti di seluruh kawasan Tasik Kenyir umumnya.

"Kita mengalu-alukan mana-mana pihak untuk memeriahkan dan mengadakan program serta aktiviti di Pulau Poh ini. Sebarang program versi pelancongan boleh merujuk kepada Tourism Terengganu, manakala bagi penganjuran versi sukan boleh merujuk kepada saya," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan penutup Terengganu INC Challenge Series PTT XCO Jamborace & Funrace Kenyir 2023 bertempat di Dataran Pulau Poh, semalam.

Acara basikal lasak itu menyaksikan 10 kategori dipertandingkan selama dua hari berlangsung dengan hadiah keseluruhan bernilai RM100,000 menjadi ganjaran pemenang dan peserta bertuah.

Bagi pihak kerajaan negeri, beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada anak syarikat kerajaan negeri, Kumpulan Terengganu Incorporated Sdn Bhd atas kejayaan menganjurkan program berbasikal tersebut buat julung kalinya di Pulau Poh memandangkan kawasan hutan dara tersebut baru dibuka secara rasminya pada bulan lalu.

"Kita berbangga dengan Terengganu Inc dalam menganjurkan aktiviti sukan dan merancakkan masyarakat dengan aktiviti-aktivi sihat.

"Apa yang menarik Terengganu Inc sering membuka tempat-tempat baru untuk penggiat sukan berbasikal dalam mereka menerokai tempat menarik di Terengganu," katanya.


Tag: