• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Ayuh, Tawaran 2,500 Peluang Kerja Masih Dibuka

BESUT, 20 Disember- Sebanyak 2,500 peluang pekerjaan ditawarkan dalam program Outreach Kesejahteraan Pekerjaan Rakyat Terengganu yang diadakan di Dewan Merdeka, Kota Putera Square, sehingga esok.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, program yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini itu perlu dimanfaatkan rakyat Terengganu untuk membina kerjaya.

"Sebenarnya, untuk tahun ini kita rancang ini yang terakhir, tetapi kita dapat permintaan daripada Pejabat Daerah dan Tanah Setiu untuk mengadakan program 'outreach' di daerah itu. Jadi, sekiranya sempat kita akan cuba buat. Jika tak sempat hujung tahun ini, kita akan buat awal tahun depan bermula di Setiu.

"Untuk makluman, selepas 'outreach' dilakukan dengan kerjasama Panasonic Appliances Air-Conditioning Malaysia Sdn. Bhd.(PAPAMY) baru-baru ini, Pusat Pembangunan Sumber Manusia Terengganu (T-HRDC) dihubungi beberapa lagi syarikat untuk menjalinkan kerjasama dan dengan kesempatan yang ada kami cuba menawarkan peluang ini kepada rakyat kita," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi, hari ini.

Jelasnya, program berkenaan juga terbukti apabila T-HRDC berjaya mewujudkan peluang pekerjaan kepada lebih ramai anak-anak negeri.

"Setakat ini, dari segi pencapaian kita 88 peratus calon yang hadir ke program 'outreach' ini telah diberikan pekerjaan.

"Dari segi jumlahnya, sebanyak 138 orang anak Terengganu yang telah ke PAPAMY di mana ia menjadi rekod bagi Panasonic sendiri yang berjaya merekrut pekerja sebanyak itu dalam satu program santunan kerja ini," katanya.

Beliau berharap kesempatan satu hari lagi dimanfaatkan lebih ramai anak muda terutama di kawasan Besut untuk membina kerjaya.