• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Azreen, Zulkhairie Terima Insentif RM30,000

KUALA NERUS, 16 Julai- Sebagai sokongan kepada ratu pecut Terengganu, Azreen Nabila Alias dan jaguh berbasikal Paralimpik, Zulkhairie Tarmizi yang layak ke temasya sukan Olimpik di Tokyo, kerajaan negeri bersetuju menyampaikan insentif kepada kedua-dua atlet kelahiran Terengganu itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, kerajaan negeri menyampaikan insentif tunai berjumlah RM30,000 sebagai membantu persiapan mereka menghadapi temasya itu.

"Sebelum ini, kerajaan negeri telah anugerahkan kepada Azizulhasni Awang dan Khairul Anuar Mohamad, iaitu sebanyak RM100,000 setiap seorang di atas kelayakan secara merit mereka ke Olimpik.

"Oleh itu, kerajaan negeri memutuskan untuk menyampaikan juga insentif kepada Azreen dan Zulkhairie.

"Walaupun tak sebanyak yang diterima dua atlet elit kita, insentif ini dizahirkan sebagai sokongan padu kepada atlet-atlet Terengganu yang layak ke sana dan bakal mengharumkan nama negara di sana," katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu menyampaikan ucapan dalam Majlis Amanat Negeri kepada keempat-empat atlet tersebut secara maya di platform Facebook Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), hari ini.

Tambahnya, besar harapan dan doa seluruh rakyat Terengganu agar keempat wira kelahiran negeri itu dapat membawa amanah dan harapan dengan keputusan yang cemerlang di sukan Olimpik nanti.

"Tiada apa yang mustahil untuk dicapai. Walaupun Azreen contohnya, mungkin pergi atas tiket wild card.

"Tetapi, tidak mustahil beliau dapat meraih kejayaan dengan kehendak Allah SWT," katanya.

 


Tag: