• 03 Mei 2024 | 24 Syawal 1445

Bacaan Qunut Nazilah, Solat Hajat di Masjid Seluruh Terengganu

KUALA TERENGGANU, 8 November – Semua Masjid di seluruh Terengganu diminta untuk mengadakan solat hajat dan bacaan qunut nazilah setiap kali lepas solat bermula Jumaat ini.

Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), M Rozi Bidin berkata arahan tersebut telah dimaklumkan kepada semua Pengerusi Jawatankuasa Masjid di lapan daerah negeri ini. 

Katanya, ia berikutan situasi terkini yang berlaku kepada umat Islam di Palestin.

“Serta memohon kepada Allah SWT agar memberikan keselamatan kepada umat Islam di sana,” katanya dalam kenyataan pada hari ini.

Pertempuran antara Hamas, pihak berkuasa di Semenanjung Gaza dan rejim Israel sejak 7 Oktober lepas telah mengakibatkan kehilangan ribuan nyawa.

Setakat ini, angka kematian penduduk Palestin akibat pengeboman Israel secara berterusan di Semenanjung Gaza meningkat kepada 10,328 orang.