Oleh : Nurul Natasha Surin
KUALA NERUS, 15 Februari – Program Back To School peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Tepuh 2026 memanfaatkan seramai 250 penerima menerusi agihan Bantuan Persekolahan Siri Kedua yang berlangsung di Ar-Riyadah Residence, di sini.
Inisiatif tersebut dilaksanakan sebagai persediaan awal anak-anak menghadapi sesi persekolahan baharu sekaligus membantu meringankan beban kewangan keluarga, khususnya golongan yang memerlukan.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Negeri Terengganu merangkap ADUN Tepuh, Hishamuddin Abdul Karim berkata, program berkenaan mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri bersama rakan strategik dalam memastikan kebajikan rakyat terus dipelihara.
“Bantuan yang disalurkan bukan sahaja membantu dari aspek kewangan, malah memberi suntikan semangat kepada pelajar untuk memulakan sesi persekolahan dengan lebih yakin dan bermotivasi.
“Diharapkan sumbangan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban keluarga serta menjadi pemangkin kejayaan anak-anak dalam menuntut ilmu,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut.

Katanya, usaha seumpama itu akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan lebih ramai pelajar dan keluarga di DUN Tepoh menerima manfaat sewajarnya menjelang sesi persekolahan baharu.