• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Bah di Terengganu Makin Buruk, 3,374 Mangsa Banjir di Lima Daerah

KUALA TERENGGANU, 21 November - Hujan berterusan selama dua hari menyebabkan jumlah mangsa banjir di lima daerah terus meningkat di Terengganu.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Banjir Negeri memaklumkan sejumlah 3,374 orang berada di 23 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 6 petang hari ini.

Kuala Nerus masih menjadi daerah mencatatkan jumlah mangsa teramai iaitu 1,297 orang daripada 337 keluarga yang ditempatkan di 12 PPS, termasuk di Dewan Serbaguna Tok Jembal, Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Tunggal dan SK Bukit Nanas.

Di Kuala Terengganu pula, seramai 851 mangsa daripada 252 keluarga berlindung di empat PPS manakala di Setiu, dua PPS dibuka menempatkan 26 mangsa daripada dua keluarga.

Manakala di Marang, empat PPS yang menempatkan 826 mangsa daripada 32 keluarga.

Sementara itu, Besut merupakan daerah terbaharu dilanda banjir, dengan satu PPS dibuka menempatkan 374 mangsa daripada 84 keluarga.