• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Bah di Terengganu Semakin Memburuk, Mangsa Meningkat

KUALA TERENGGANU, 26 Disember - Situasi banjir di  Terengganu semakin buruk dengan pertambahan jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) pagi ini berbanding semalam.

Kuala Nerus menjadi daerah terbaru dilanda banjir gelombang ketiga kali ini.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu berkata,  jumlah mangsa yang ditempatkan di PPS di tujuh daerah meningkat kepada 8,808 orang daripada 2,402 keluarga setakat 8
 pagi ini.

Menurutnya, Hulu Terengganu menjadi daerah paling terjejas dengan 3,005 mangsa daripada 874 keluarga ditempatkan di 34 PPS, diikuti Dungun melibatkan 1,725 mangsa (444 keluarga) berteduh di 25 PPS dan seramai 1,609 mangsa (364 keluarga) ditempatkan di 24 PPS di Besut.

Di Setiu, 1,432 mangsa (410 keluarga) berada di 30 PPS, di Kemaman, 964 mangsa (290 keluarga) berlindung di 10 PPS dan di Marang seramai 48 mangsa (12 keluarga) di dua PPS.

Manakala di Kuala Nerus hanya 25 mangsa daripada lapan keluarga di tiga PPS.