• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Bajet 2017 : Terengganu Umum Bajet RM1.867 Bilion

Ahmad Razif menunjukkan  Buku Bajet 2017 yang dibentangkan  pada Persidangan Dewan Undangan Negeri, Wisma Darul Iman, hari ini. Foto oleh Harish Fadzillah Kassim dan Tg Syamim Tg Ismail

Kerajaan negeri mengumumkan peruntukan RM1.867 bilion untuk Bajet 2017 yang bertemakan 'Bersama Melangkah Ke Hadapan'.

Dasar pengurusan bajet direkodkan mengalami defisit sebanyak 10 peratus, berbanding anggaran hasil sebanyak RM1.697 bilion.

Menteri Besar, Ahmad Razif Abd Rahman berkata, melalui angka-angka ini, kerajaan mencadangkan sejumlah RM1.867 bilion untuk Perbelanjaan Mengurus, RM739.70 juta untuk Pembangunan dan RM2.97 juta untuk Kumpulan Wang Bekalan Air.

"Di bawah Perbelanjaan Mengurus, sebanyak RM85 juta diperuntukkan bagi Perbelanjaan Tanggungan sebagaimana yang diperuntukkan oleh undang-undang dan sejumlah RM1.782 bilion untuk Perbelanjaan Bekalan.

"Manakala Perbelanjaan Bekalan pula, sebanyak RM1.272 bilion diperuntukkan untuk Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap, RM287.9 juta untuk Perbelanjaan Emolumen, RM192.24 juta untuk Perkhidmatan dan Bekalan, RM28.24 juta untuk Aset dan RM1.16 juta untuk Lain- lain Perbelanjaan,"katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Bajet 2017 di Persidangan Dewan Undangan Negeri, Wisma Darul Iman, hari ini.


Ahmad Razif berkata, di bawah komponen Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap, sejumlah RM540 juta akan dicarumkan kepada Kumpulan Wang Pembangunan bagi melaksanakan Projek-Projek Pembangunan, RM200 juta bagi pemberian kepada Pihak Berkuasa Tempatan dan Badan Berkanun serta RM118 juta bagi pemberian kepada Pelbagai Agensi dan Kumpulan Wang.

Lain- lain menerusi komponen yang sama, sebanyak RM57.86 juta bagi bantuan kebajikan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat dan RM304.24 juta lagi bagi pelbagai program di bawah kawalan Pejabat Setiausaha Kerajaan Vot B32- Pelbagai Perkhidmatan.

"Dari segi agihan mengikut Sektor Pembangunan, 63 peratus atau sebanyak RM466.9 juta telah diperuntukkan untuk Pembangunan Sosial, merangkumi lima sektor iaitu Pendidikan, Infrastruktur & Kemudahan Awam, Pembangunan Bandar dan Luar Bandar, Sukan dan Perumahan.

"Sementara 27 peratus atau RM197.18 juta lagi disediakan bagi tujuan Pentadbiran, merangkumi empat sektor iaitu Teknologi Maklumat (ICT), Pentadbiran Am, Projek Khas dan Projek Penting Luar Jangka dan 10 peratus atau RM77.61 juta pula untuk Ekonomi, merangkumi tiga sektor iaitu Pertanian, Pelancongan dan Industri termasuk IKS," katanya.

Tag: