• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Bajet 2018: Isu KT- Bypass, Penduduk Langgar Syarat

Ir. Rosli bercakap kepada media berhubung isu KT-Bypass pada Sidang DUN di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu. Foto oleh Tengku Syamim Tengku Ismail.

Kerajaan negeri bersedia meneliti semula rungutan dan bantahan penduduk di sekitar projek pembangunan KT-Bypass di Kuala Terengganu bagi melancarkan pembangunan infrastruktur yang bertujuan mengurangkan kesesakan di pusat bandar tidak lama lagi.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Kemudahan Awam; Tenaga dan Teknologi Hijau Negeri, Ir. Rosli Othman berkata, pihaknya mendapati projek yang dibangunkan Kerajaan Pusat sejak tahun lalu itu turut terjadi perlanggaran syarat tanah apabila penduduk mendirikan kediaman di tanah pertanian.

Katanya, kemudiannya penduduk mendakwa mereka tidak dibayar pampasan dengan kadar yang setimpal.



"Ada di kalangan yang melanggar syarat ini pada asalnya Kementerian Kerja Raya bersetuju untuk membayar kalau tidak salah sekitar 30 peratus daripada jumlah harga kediaman dan tanah.

"Tapi itu adalah sebagai salah satu saguhati bukannya satu peraturan sebagai mengambil kira kesusahan yang mereka hadapi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media sebagai mengulas isu KT Bypass susulan bantahan sekumpulan penduduk, selepas sesi soalan di persidangan Dewan Undangan Negeri, Wisma Darul Iman, hari ini.



Tambahnya, isu tersebut juga melibatkan penyewa tanah terlibat yang ingin menuntut pampasan, sedangkan mereka bukan pemilik sebenar.

"Bayaran yang diperakui oleh Kerajaan Pusat adalah kepada tuan tanah bukan penyewa.

"Jadi sekarang penyewa pula meminta hak mereka. Jadi bila berlaku hal sebegini yang dipanggil ketidak setujuan cara bayaran dan sebagainya jadi kita terpaksa tengok balik," katanya.

Dalam masa yang sama, Rosli berharap agar perkara tersebut dapat diselesaikan dengan cara baik kerana ianya mampu menjadikan Kuala Terengganu sebagai sebuah ibu negeri yang mempunyai infrastruktur tersusun dan sistematik.

Sebelum itu, lebih 20 penduduk kawasan terlibat dengan kawasan pembangunan KT-Bypass melakukan demonstrasi di perkarangan Wisma Darul Iman menyatakan ketidak puasan hati mereka berkenaan pampasan yang diperolehi.

Untuk rekod, KT Bypass dilaksanakan oleh Kementerian Kerja Raya sejak Julai 2016 melibatkan laluan sepanjang 5.875 km, bermula dari persimpangan Tok Molor, Jalan Tok Adis (T12) hingga ke Kampung Durian Burung di Jalan Persekutuan FT03 Kota Bharu – Kuala Terengganu.

Untuk melengkapkan laluan baru ini, turut akan dibina adalah empat jambatan, dua Vehicular Box Culvert (VBC), ataupun laluan bawah, menaik taraf persimpangan Tok Molor dan persimpangan Tok Ku kepada jenis bertingkat, sistem perparitan, pembentungan, lampu jalan, lampu isyarat dan kelengkapan jalan lain.

Secara keseluruhannya, projek menelan belanja kira-kira RM321 juta dengan RM167 juta adalah kos kontrak manakala RM154 juta pula adalah untuk kos pengambilan tanah.

Tag: