• 29 Apr 2024 | 20 Syawal 1445

Bajet 2019 : Chicken Cottage Rugi RM2.5 Juta Sepanjang 2018



KUALA TERENGGANU, 27 November -  Restoran makanan segera milik kerajaan negeri, Chicken Cottage dianggarkan mengalami kerugian berjumlah RM2.5 juta sehingga Disember 2018.

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri, Dato' Tengku Hassan Tengku Omar berkata, cawangan Chicken Cottage di Terengganu mengalami kerugian sejak syarikat makanan itu mula beroperasi pada 2015.

Katanya, sejak mula beroperasi sehingga Disember 2017 kerugian adalah sebanyak RM2.6 juta. Manakala, pada 2017 pula merekodkan kerugian RM1.2 juta.

"Begitu juga dengan cawangan di Taman Tun Doktor Ismail, Kuala Lumpur (turut kerugian).

"Bagaimanapun, kita buat keuntungan besar di United Kingdom (UK)," katanya ketika ditemui pemberita selepas sesi soal jawab di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.

Tengku Hassan berkata, sehingga kini, terdapat 70 outlet Chicken Cottage di UK dan restoran makanan itu akan melebarkan sayapnya di Dubai serta berkembang di negara-negara Arab.

"Cawangan luar negara untung mungkin kerana jenama ini telah lama di sana dan sesuai dengan suasana masyarakatnya. Kita merancang melantik seorang 'master franchise' bagi setiap negara.

"Akan ada beberapa cawangan yang bakal dibuka di Jeddah, Riyadh dan India," katanya.

Menurut Tengku Hassan lagi, sebarang keputusan terhadap syarikat perniagaan makanan itu bagi cawangan dalam negara akan ditentukan oleh ahli lembaga pengarahnya tanpa campur tangan pihak lain.


Tag: