• 29 Apr 2024 | 20 Syawal 1445

Bajet 2019 : Suntikan RM15 Juta Untuk Usahawan Terengganu



KUALA TERENGGANU, 27 November - Kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPUT) memperuntukkan kira-kira RM15 juta tahun depan  untuk disalurkan kepada usahawan khususnya Usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) di seluruh Terengganu bagi melaksanakan pelbagai perniagaan.

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Keusahawanan, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Abdul Rahman berkata, peruntukan itu akan diagihkan kepada individu yang benar-benar layak dan berpotensi tanpa mengira fahaman politik.

Katanya, berdasarkan perkembangan itu, golongan yang mahu menjana pendapatan dan ekonomi keluarga  sewajarnya  mengambil peluang untuk memajukan perniagaan masing-masing sehingga mampu memasarkan produk ke peringkat antarabangsa.

“Kerajaan bersedia membantu golongan IKS dengan mencari pembekal, pemborong dan pengimport untuk memperluaskan pasaran produk sehingga ke pelbagai negara.

“Terbaru, ada dua pengimport yang tinggal di Australia dan Arab Saudi bersetuju membeli pelbagai produk rempah Terengganu dalam jumlah yang agar besar untuk pasaran dan dibekalkan kepada peniaga restoran di negara itu.

“YPUT akan memainkan peranan berkaitan itu untuk mendapatkan rempah-rempah berkualiti daripada usahawan terpilih, termasuk produk rempah keluaran Adeq Sue Resources Sdn. Bhd,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan Sidang Dewan Undangan Negeri di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.

Sementara itu, Mohd Nurkhuzaini mengingatkan golongan belia terutama lepasan universiti di negeri ini agar tidak memilih negeri untuk bekerja.

Beliau berkata, terdapat rungutan daripada wakil syarikat terkemuka dari Selangor, Kedah, Johor dan Pulau Pinang mengenai sikap penduduk Terengganu yang enggan bekerja di luar Terengganu.

“Ramai anak muda datang dalam sesi temuduga, tetapi apabila ditawarkan untuk bekerja dalam sektor tertentu di luar Terengganu, ramai yang menolak tawaran berkenaan.

“Sikap seumpama ini perlu dibuang sekiranya mahu memajukan diri dalam pelbagai bidang,”katanya.
.

   




Tag: