• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Balak Besar : Lulus 2017, Dakwaan Tak Dibayar Cukai Fitnah

KUALA TERENGGANU, 24 Mei – Dakwaan pihak tertentu yang mengatakan kayu balak bersaiz besar dibawa dari Terengganu tidak dikenakan bayaran cukai kerana Balai Pemeriksaan Hutan ditutup pada Ahad, adalah tidak berasas.

Pengarah Perhutanan Negeri Terengganu, Roslan Rani sebaliknya berkata, Balai Pemeriksaan Hutan di negeri ini dibuka pada hari tersebut bermula dari jam 8 pagi hingga 5 petang dan penafsiran cukai telah dibuat di Balai Pemeriksaan Durian Mas, Dungun. 

Katanya lagi, kayu tersebut juga diambil daripada kawasan usahasil berlesen dan telah dibuat pemindahan mengikut peraturan yang berkuatkuasa.

“Kayu tersebut adalah dari kawasan lesen, kompartmen 80, Hutan Simpan Sungai Nipah, ia dibawa keluar melalui kawasan lesen ke Kilang Papan Lanjut Edaran, Durian Mas, Dungun melalui Balai Pemeriksaan Hutan Air putih melibatkan empat Pas Pemindah.

“Pada 10 Mei 2021, satu permohonan telah dibuat oleh pelesen Syarikat Zee Utuh Enterprise kepada Pejabat Hutan Daerah Terengganu Selatan untuk memindahkan kayu itu ke Kilang Hong Seng Sawmil co., Rawang, permohonan itu diluluskan pada 18 Mei.

“Berpandukan itu, empat tual balak berkenaan telah dikeluarkan melalui satu Pas Pemindah di Balai Pemeriksan Durian Mas pada 23 Mei 2021, lori pengangkutan balak bernombor pendaftaran BQB 5512,” jelasnya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) hari ini.

Mengulas mengenai kelulusan itu, Roslan berkata kawasan tersebut sudah lama diluluskan untuk tujuan itu iaitu sejak tahun 2017, dan ia sebenarnya dirancang untuk dibangunkan tanaman sawit di sana.

“Lesen pula berkuatkuasa pada Ogos 2019 hingga Ogos 2020 dan diberi pelanjutan sehingga April tahun ini untuk tujuan berkenaan.

"Kelulusan kawasan dan berkuatkuasa lesen adalah perkara berbeza, ini perlu difahami semua pihak dengan teliti, bagi isu ini kawasan itu diluluskan untuk aktiviti pembalakan pada 2017 kemudian lesen syarikat terbabit berkuatkuasa pada 2019,” tambah beliau.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, kerajaan sedia ada tidak boleh membatalkan kelulusan itu, kerana syarikat terlibat telah mengeluarkan perbelanjaan untuk pelbagai perkara berkaitan.

"Jika dibatalkan kerajaan negeri boleh disaman atau diambil tindakan undang-undang, termasuk terdedah dengan isu integriti dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) boleh siasat kenapa ia dibatalkan," katanya.

 


Tag: