Berita :
Himpunan Alam Melayu Bakal Cetus Gelombang Kebangkitan Jati Diri Serumpun - Pensyarah
Himpunan Alam Melayu Bakal Cetus Gelombang Kebangkitan Jati Diri Serumpun - Pensyarah
Adli Mohamad
3 jam yang lepas
229

KUALA TERENGGANU, 30 Mac - Himpunan Alam Melayu 2026 yang bakal berlangsung pada 2 hingga 4 April ini dilihat berupaya menjadi pemangkin kepada gelombang kebangkitan semula jati diri masyarakat serumpun melalui pengukuhan nilai sejarah, budaya dan Warisan Melayu.

Pensyarah Kursus Budaya dan Warisan Malaysia Kolej Al-Quran Terengganu, YM Tuan Shariffah Khairiah Tuan Kechil berkata, himpunan tersebut boleh memugarkan kembali semangat melayu dan menyemai rasa bangga memiliki identiti Melayu.

Katanya, ia juga berupaya untuk menguatkan kesedaran sejarah tentang asal usul dan Tamadun Melayu.

"Himpunan Alam Melayu 2026 merupakan satu program yang merujuk kepada perhimpunan yang melibatkan masyarakat dari rantau Alam Melayu dan kawasan serumpun yang lebih menekankan hubungan serantau.

"Bagi saya antara faktor kenapa  program ini digalakkan untuk dihadiri adalah bagi mengukuhkan hubungan serumpun iaitu sudah pasti ia akan mempertemukan masyarakat dari pelbagai negara dalam Alam Melayu, sekali gus mengeratkan persaudaraan dari segi sejarah, bahasa, budaya dan Warisan Melayu.

"Adalah menjadi harapan, agar program ini boleh memelihara warisan bersama seperti adat, Bahasa Melayu, seni dan tradisi dikongsi bersama serta membantu memastikan warisan Melayu terus hidup dan dihargai oleh generasi muda pada masa kini," ujarnya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Mengulas lebih lanjut, katanya antara program yang bakal menarik perhatian adalah Wacana Alam Melayu dan Ketamadunan Islam yang akan menampilkan Pakar Sejarah Melayu Ustaz Muhammad Amin Al-Amin serta Prof Dr. Solehah Yaacob.

"Kehadiran dua tokoh sejarah ini biasanya membawa beberapa harapan penting kepada mereka yang cintakan ilmu, antaranya dapat memberikan pandangan ilmiah dan berautoriti.

"Sebagai tokoh akademik dan agama, mereka dapat berkongsi ilmu yang mendalam tentang sejarah, budaya, dan nilai alam Melayu supaya para peserta lebih faham sejarah secara tepat, bukan sekadar ikut-ikutan," katanya.

Di samping itu, jelas beliau kehadiran dua tokoh besar tentang sejarah Melayu itu diharap dapat membuka ruang dan peluang dalam mencetuskan perbincangan yang berkualiti serta memberi inspirasi kepada peserta.

"Mereka mampu membuka ruang dialog yang matang tentang isu semasa berkaitan Alam Melayu," jelas beliau.



Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan