Jalur Gemilang
Berita :
KCFM 2026: Kemaman Menuju Perbandaran Hijau, Sihat dan Sejahtera
KCFM 2026: Kemaman Menuju Perbandaran Hijau, Sihat dan Sejahtera
Ezani Razali
8 jam yang lepas
104

KEMAMAN, 14 November – Kemaman terus memperkukuh komitmen ke arah pembangunan perbandaran yang lebih hijau, bersih dan lestari menerusi penganjuran Program Kemaman Carbon Free Morning (KCFM) 2026 yang berlangsung dalam suasana ceria dan meriah pagi tadi.

Program berkenaan yang berlangsung di Kemaman Arena Square telah dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Terengganu, Dato’ Haji Hanafiah Mat.

Beliau berkata, pembangunan sesebuah bandar tidak seharusnya hanya dinilai berdasarkan kemajuan infrastruktur, bangunan dan pertumbuhan ekonomi semata-mata, sebaliknya turut mengambil kira aspek kebersihan persekitaran, kesihatan masyarakat serta kelestarian alam.

Menurutnya, Kemaman bukan sahaja mahu dikenali sebagai sebuah daerah yang berkembang pesat dalam sektor industri dan ekonomi, malah turut beraspirasi menjadi perbandaran yang hijau, sihat, bersih dan sejahtera.

“Sebagai sebuah daerah yang mempunyai potensi besar dalam pembangunan industri dan ekonomi, kita mahu Kemaman turut menjadi contoh dalam aspek kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan masyarakat.

“Sebuah bandar yang maju bukan hanya diukur melalui bangunan yang tinggi, jalan raya yang luas atau ekonomi yang pesat, tetapi juga melalui kebersihan persekitarannya, kesihatan rakyatnya dan kelestarian alamnya,” katanya.

Program KCFM 2026 turut menampilkan pelbagai aktiviti berorientasikan gaya hidup sihat seperti Fun Walk, Brisk Walk dan Stroller Walk yang menggalakkan penyertaan masyarakat daripada pelbagai peringkat usia.

Selain itu, program berkenaan turut menghimpunkan aktiviti komuniti, peluang ekonomi setempat serta pelbagai perkhidmatan yang memberi manfaat kepada masyarakat, sekali gus menjadi platform mempererat hubungan antara kerajaan dengan rakyat.

Hanafiah turut merakamkan penghargaan dan tahniah kepada Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) atas penganjuran program berkenaan yang disifatkan sebagai satu inisiatif bermakna dalam meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan gaya hidup sihat dan penjagaan alam sekitar.

Beliau berharap program seumpama itu dapat diteruskan dan diperkasakan pada masa hadapan sebagai sebahagian daripada usaha membentuk masyarakat yang lebih sihat serta persekitaran bandar yang berkualiti.

“Pembangunan yang kita mahukan bukan sekadar dilihat kemajuannya, tetapi benar-benar dirasai manfaatnya oleh seluruh masyarakat.

“Insya-Allah, dengan kerjasama semua pihak, kita mampu menjadikan Kemaman sebuah perbandaran yang lebih hijau, lestari dan sejahtera,” katanya yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan