Jalur Gemilang
Berita :
KDN Digesa Bertindak Tegas, Sempadan Pantai Timur Terdedah Sindiket Penyeludupan PATI
KDN Digesa Bertindak Tegas, Sempadan Pantai Timur Terdedah Sindiket Penyeludupan PATI
Mohd Hafiz Azrin Abdul Razak
10 jam yang lepas
142

 KUALA LUMPUR, 13 November – Penahanan seramai 1,257 pendatang asing tanpa izin (PATI) di Terengganu sepanjang tahun ini menimbulkan persoalan mengenai tahap keselamatan sempadan negara yang didakwa masih mudah dibolosi.

Ahli Parlimen Besut, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh berkata, jumlah tangkapan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Terengganu itu bukan sesuatu yang wajar dibanggakan, sebaliknya menunjukkan kelemahan kawalan sempadan yang perlu ditangani segera.

"Angka tangkapan PATI yang ramai belumlah untuk dibanggakan, tetapi sebaliknya menyedarkan kita bahawa sempadan kita masih bocor.

"Masalah PATI ini bukan lagi hanya isu Imigresen, sebaliknya turut mengancam keselamatan nasional. Penyeludupan PATI di Malaysia telah berevolusi merangkumi sindiket jenayah terancang, pemalsuan dokumen dan pemerdagangan manusia," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 Peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Dewan Rakyat, hari ini.

Sehubungan itu, Che Mohamad Zulkifly menggesa KDN melaksanakan reformasi integriti segera terhadap agensi penguatkuasaan sempadan, khususnya di perairan Pantai Timur termasuk Terengganu dan Kelantan.

Beliau turut meminta kementerian memperketat kawalan integriti dalam agensi seperti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bagi membanteras penglibatan pegawai yang menjadi tali barut sindiket kemasukan PATI.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau mendesak kerajaan menjelaskan langkah proaktif bagi menangani sindiket pemalsuan kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

Beliau turut mencadangkan sebahagian peruntukan KDN digunakan untuk membangunkan mekanisme pemprofilan biometrik pelarian yang lebih bersepadu bagi memperkukuh kawalan keselamatan negara.



Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan