Jalur Gemilang
Berita :
Monopoli Kontrak RM2.4 Bilion: KDN, MOF Digesa Buka Tender Terbuka MyKad dan Pasport
Monopoli Kontrak RM2.4 Bilion: KDN, MOF Digesa Buka Tender Terbuka MyKad dan Pasport
Mohd Hafiz Azrin Abdul Razak
1 jam yang lepas
32

KUALA LUMPUR, 13 November – Kerajaan digesa mendedahkan laporan penilaian kontrak pembekalan MyKad dan Pasport negara yang bernilai lebih RM2.4 bilion yang didakwa diberikan kepada sebuah syarikat secara monopoli menerusi rundingan terus.

Ahli Parlimen Besut, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh mempersoalkan asas kelulusan tersebut di bawah Pekeliling Perbendaharaan PK 2.4, dan menuntut Kementerian Dalam Negeri (KDN) serta Kementerian Kewangan (MOF) memberi penjelasan telus.

"Kontrak MyKad bernilai RM732.7 juta diberikan kepada syarikat yang sama memegang kontrak pasport bernilai RM1.73 bilion. Saya minta kerajaan menyatakan syarat rundingan terus manakah yang dipenuhi? Adakah atas faktor keselamatan negara atau kepakaran khusus?

"Saya mencadangkan agar laporan penilaian kontrak ini didedahkan, dan proses perolehan bagi kitaran akan datang mesti dilaksanakan secara tender terbuka," katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 Peringkat Jawatankuasa bagi KDN di Dewan Rakyat, semalam. 

Dalam perbahasan yang sama, Datuk Che Mohamad Zulkifly turut menyentuh peruntukan besar KDN dalam menguruskan penjara yang kini melepasi tahap kapasiti sebenar iaitu mencapai kesesakan 115 peratus.

Beliau membangkitkan kebimbangan mengenai keberkesanan program pemulihan penagih dadah apabila statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan peningkatan kadar jenayah berulang (residivis) daripada 34 peratus pada 2023 kepada 40 peratus pada tahun 2025.

Justeru, beliau menggesa KDN memastikan peningkatan bajet pengurusan koreksional dimanfaatkan ke arah inisiatif reintegrasi yang lebih efektif bagi memastikan penagih dadah tidak kembali ke kancah jenayah selepas dibebaskan.



Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan