Jalur Gemilang
Berita :
KMI Healthcare Hospital Pakar Pertama Bangunkan Panduan Kawalan Kritikal Syariah
KMI Healthcare Hospital Pakar Pertama Bangunkan Panduan Kawalan Kritikal Syariah
Rohayati Ripin
1 jam yang lepas
43

KUALA TERENGGANU, 13 November – KMI Healthcare mencatat sejarah sebagai kumpulan hospital pakar pertama di Malaysia yang membangunkan Buku Panduan Kawalan Kritikal Syariah (Shariah Critical Control Points – SCCP) khusus bagi sektor penjagaan kesihatan.

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Dato’ Mohd Nor Hamzah berkata, inisiatif itu merupakan langkah penting dalam memperkukuh pengurusan hospital patuh Syariah melalui sistem kawalan yang lebih tersusun dan berkesan.

Menurutnya, pematuhan Syariah tidak boleh bergantung kepada kesedaran atau kefahaman individu semata-mata, sebaliknya perlu disokong garis panduan jelas serta mekanisme kawalan dan pemantauan yang sistematik.

“Melalui buku panduan ini, KMI Healthcare berusaha memastikan setiap aspek perkhidmatan, produk dan operasi hospital sentiasa mengambil kira keperluan serta prinsip Syariah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pelancaran Buku Panduan Kawalan Kritikal Syariah KMI dan meraikan pencapaian Pensijilan MS 1900 di Tamu Hotel & Suites, di sini, semalam.

Mohd Nor berkata, panduan SCCP membolehkan pihak hospital mengenal pasti lebih awal proses kritikal yang berisiko menyebabkan ketidakpatuhan Syariah, sekali gus mengambil langkah pencegahan sebelum sesuatu isu berlaku.

Katanya, pendekatan itu merangkumi pelbagai aspek termasuk tadbir urus organisasi, pengurusan sumber manusia, penjagaan pesakit dan proses sokongan berkaitan.

“Kekuatan SCCP terletak pada pendekatannya yang praktikal dan berorientasikan pencegahan risiko, bukan sekadar mengenal pasti perkara yang perlu dipatuhi.

“Lebih membanggakan, KMI Healthcare merupakan kumpulan hospital pakar pertama di Malaysia yang membangunkan panduan seumpama ini khusus untuk sektor penjagaan kesihatan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan konsep penjagaan kesihatan berlandaskan Syariah tidak hanya tertumpu kepada penyediaan kemudahan ibadah atau persekitaran mesra Muslim.

Sebaliknya, ia turut melibatkan cara sesebuah hospital diuruskan, keputusan dibuat serta layanan yang diberikan kepada pesakit.

Menurutnya, prinsip Maqasid Syariah yang menekankan pemeliharaan agama, nyawa, akal, keturunan dan harta perlu dijadikan panduan dalam memastikan perkhidmatan kesihatan bukan sahaja memenuhi piawaian profesional dan klinikal, malah menjaga kebajikan manusia secara menyeluruh.
Sementara itu, pada majlis sama, KMI Healthcare dan TDM Berhad turut diraikan atas kejayaan memperoleh pensijilan MS 1900:2014, iaitu Sistem Pengurusan Kualiti Berasaskan Syariah, bersama pensijilan ISO 9001:2015 di peringkat Ibu Pejabat Kumpulan KMI Healthcare.

Mohd Nor berkata, pencapaian berkenaan membuktikan kesungguhan organisasi tersebut dalam mengintegrasikan prinsip Syariah ke dalam sistem pengurusan, tadbir urus dan penyampaian perkhidmatan.

Beliau turut berharap pembangunan SCCP dapat dijadikan rujukan kepada penyedia perkhidmatan kesihatan lain dalam melaksanakan pengurusan patuh Syariah secara lebih sistematik.

“Kejayaan KMI Healthcare juga membuktikan syarikat dari Terengganu mampu menghasilkan inovasi yang mempunyai nilai dan pengiktirafan di peringkat nasional,” katanya. 
 


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan