Jalur Gemilang
Berita :
Hari Terbuka Platform Promosi Kenyir Geopark Ke Peringkat Antarabangsa
Hari Terbuka Platform Promosi Kenyir Geopark Ke Peringkat Antarabangsa
Ahmad Zaeem Zainudin
1 jam yang lepas
46

HULU TERENGGANU, 13 November - Hari Terbuka Kenyir Geopark menjadi antara inisiatif promosi bagi memperkenalkan salah satu kawasan pelancongan eko tersohor negara yang terletak di daerah Hulu Terengganu itu kepada orang ramai.

Penganjuran program buat julung kalinya selepas menerima pengiktirafan Geopark Kebangsaan pada 2023 itu turut menghimpunkan pemain industri pelancongan, komuniti orang asli serta 'duta kecil' yang terdiri daripada pelajar sekolah menengah di daerah berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Dato' Razali Idris berkata, program yang berlangsung selama dua hari itu bukan sekadar menjadi medan pertemuan pemain industri, sebaliknya platform untuk memperluas promosi Kenyir Geopark.

"Pada pandangan saya, dia bukan setakat hari terbuka, kita kena promosi Kenyir Geopark ke seluruh dunia supaya Kenyir Geopark ni membawa kepada kesan ekonomi kepada penduduk dan juga pengusaha pelancongan terutamanya.

"Dan Kenyir Geopark merangkumi keseluruhan Tasik Kenyir dan sebahagiannya luar daripada Tasik Kenyir dan di luar sana dia ada Batu Bersurat, dia ada Sekayu Waterfall tapi 70 hingga 80 peratus ada dalam Tasik Kenyir," katanya.

Menurut beliau, Tasik Kenyir merupakan destinasi pilihan pengunjung dan pelancong dari dalam serta luar negara, justeru penggabungan tasik berkenaan dengan Kenyir Geopark dilihat mampu memperluas pasaran promosi dan menarik lebih ramai pelancong.

"Jadi saya akan berbincang dengan pegawai daerah insya-Allah, untuk mengangkat lagi dan mengadakan promosi untuk Tasik Kenyir secara besar-besaran hingga ke tahap antarabangsa," ujarnya.

Mengulas sasaran pelancongan, Razali berkata, Kerajaan Negeri menyasarkan kehadiran satu juta pengunjung ke Kenyir Geopark pada tahun hadapan dan yakin kemudahan sedia ada mampu menampung jumlah berkenaan.

"Sebab kita dah ada Kenyir by The Lake, kita dah ada infrastruktur, kita pun sudah hampir nak siap dah pengkalan bot yang kita sedang bangunkan sekarang dengan bajet lebih kurang RM2.4 juta yang kita buat di Pulau Poh untuk tempat bot parking dan juga STP (Sewage Treatment Plant) untuk sistem kumbahan.

"Jadi kita telah belanjakan untuk kemudahan itu, dan insya-Allah awal tahun ini JKR diberi amanah untuk mengendalikan projek tersebut," jelasnya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) ketika ditemui.

Sementara itu, Pegawai Daerah dan Pentadbir Tanah Hulu Terengganu, Mohd Fadhli Ngah berkata, penganjuran sulung program berkenaan mendapat sambutan menggalakkan daripada pengunjung dan peserta.

"Alhamdulillah, ramai orang hadir semasa pengisian program ketika ceramahnya, dengan aktiviti memasaknya, mewarna dan juga semasa jualan Rahmah pagi tadi," katanya.

Program Hari Terbuka Kenyir Geopark 2026 yang berlangsung pada 11 hingga 12 November di Dewan dan Dataran Majlis Daerah Hulu Terengganu turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti termasuk pertandingan memasak, mewarna, deklamasi sajak, mengemping, fun walk, jualan Rahmah, pameran jabatan dan agensi serta bual bicara bersama penceramah selebriti.

Mengulas perancangan penganjuran pada tahun hadapan, Mohd Fadhli berkata, pihaknya masih meneliti kesesuaian lokasi dan pengisian program, termasuk kemungkinan mengadakan acara pemasyhuran sekiranya mendapat tarikh bersesuaian.

Jelasnya lagi, sekiranya tiada tarikh yang sesuai, Hari Terbuka Kenyir Geopark 2027 tetap akan diteruskan sama ada di lokasi yang sama atau di kawasan Tasik Kenyir sendiri dengan lebih banyak aktiviti diadakan di lokasi geopark berkenaan.

Kenyir Geopark yang diiktiraf sebagai Geopark Kebangsaan ke-9 di bawah Program Pembangunan Geopark Malaysia pada 2023 dijangka untuk menjalani proses penilaian semula pada 2027.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan