• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Balu Nelayan Jatuh Bot Dapat Perhatian Exco Terengganu

DUNGUN, 24 September - Isteri kepada nelayan yang terkorban dalam satu tragedi di muara Kuala Dungun baru-baru ini, Rohani Hashim, 60, menerima kunjungan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim semalam.

Menurut Dr Azman, pihaknya telah mengarahkan agar Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Terengganu untuk menghulurkan bantuan segera kepada Rohani dalam menguruskan keperluan segera.

"Malang tidak berbau, nelayan yang mencari rezeki di laut berhadapan risiko terutama dalam musim angin tenggara sekarang.

"Semoga para nelayan kita sentiasa mengutamakan keselamatan paling utama perlu memakai jaket keselamatan. Ajal maut ketentuan Allah, kita sebagai hamba hanya mampu berusaha," ujarnya selepas menziarahi keluarga terbabit semalam.

Terdahulu, seorang nelayan mayat Mohd Noor Mamat ditemui terapung di kawasan perairan Pulau Kapas.

Mayat mangsa ditemui bot pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pada jarak 38 batu nautika dari Kuala Dungun.

Operasi SAR yang diketuai Ketua Polis daerah, Superitendan Baharuddin Abdullah digerakkan dengan kekuatan 50 anggota termasuk polis, bomba, Pasukan Penyelamat Air (PPDA) Bomba, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Angkatan Pertahanan Awam.

Mangsa dilaporkan hilang selepas terjatuh dari bot bersama dua rakannya ketika pulang menangkap ikan pada 21 September baru-baru ini.

 


Tag: