• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Banjir di Terengganu, Dungun Rekod Mangsa Terjejas Banjir Paling Tinggi

KUALA TERENGGANU, 17 Disember- Jumlah penduduk terjejas banjir di Terengganu meningkat pagi ini dengan pembukaan semula sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Besut, malam tadi.

Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) negeri, kesemua PPS di Besut ditutup sepenuhnya petang semalam, namun kembali dibuka kira-kira pukul 9.00 malam tadi membabitkan sebuah PPS yang menempatkan lapan penduduk daripada dua keluarga.

Katanya lagi, seramai 2,693 daripada 654 keluarga direkodkan berlindung di 37 PPS bagi enam daerah terjejas, setakat pukul 8.00 pagi tadi.

Ketika ini, daerah Dungun masih merekodkan jumlah tertingi dengan 1,687 penduduk daripada 418 keluarga di 14 PPS, diikuti Setiu dengan 336 penduduk daripada 94 keluarga di lapan PPS.

Sementara itu, Hulu Terengganu mencatatkan seramai 282 penduduk daripada 64 keluarga di tujuh PPS, manakala Kemaman (131) dan Marang (249).

Dalam pada itu, cuaca panas dan sesekali hujan menyebabkan paras air sungai mengalami trend turun naik di beberapa di negeri ini.