• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Banjir Gelombang Ketiga Landa Terengganu, 340 Mangsa Dipindahkan Ke PPS

KUALA TERENGGANU, 24 Disember- Terengganu mula mengalami banjir gelombang ketiga dengan daerah Marang, Dungun dan Setiu mula terjejas berikutan hujan lebat tanpa henti selama hampir 24 jam sejak pagi semalam.

Setakat pukul 10 pagi ini, seramai 340 mangsa daripada 91 keluarga sudah berpindah ke enam pusat pemindahan sementara (PPS) di ketiga daerah terbabit.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu berkata, seramai 303 mangsa daripada 84 keluarga berada di empat PPS di Dungun manakala 12 mangsa daripada tiga keluarga berada di satu PPS di Marang.

“PPS pertama dibuka ialah pada pukul 9.30 malam tadi iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Pusat, Dungun yang menempatkan 21 mangsa daripada lima keluarga.

“PPS kedua dibuka ialah di Dewan Sivik Wakaf Tapai, daerah Marang iaitu pada pukul 10 malam tadi (12 mangsa daripada tiga keluarga).

“Seterusnya PPS ketiga dibuka ialah Dewan Serbaguna Kampung Shukor pada pukul 12 tengah malam yang menempatkan 69 mangsa daripada 17 keluarga kemudian diikuti Balairaya Bembam yang menempatkan dua mangsa daripada sebuah keluarga dan Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Raja yang menempatkan 84 mangsa daripada 28 keluarga,” katanya.

Menurut kenyataan itu, PPS terbaru dibuka adalah di Setiu iaitu Balai Raya Kampung Seladang yang menempatkan 25 mangsa daripada empat keluarga.

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS)  mengeluarkan amaran banjir diramal berlaku secara berperingkat di beberapa kawasan rendah berhampiran sungai di Terengganu bermula 24 hingga 26 Disember ini.