• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Banjir Gelombang Ketiga Pulih Sepenuhnya, Semua PPS Ditutup

KUALA TERENGGANU, 31 Disember- Banjir gelombang ketiga di Terengganu pulih sepenuhnya apabila sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) terakhir di daerah Kuala Nerus ditutup secara rasmi jam 2 petang tadi.

Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu (JPBNT), PPS tersebut adalah Dewan Serbaguna Taman Perumahan Wakaf Tengah yang sebelum ini menempatkan enam mangsa daripada sebuah keluarga.

“Enam sekeluarga tersebut sebelum ini berlindung di PPS berkenaan ekoran kawasan rumah mereka di Kampung Mengabang Telong, Kuala Nerus mengalami hakisan pantai pada 25 November lalu,” ujar kenyataan itu.

Terdahulu katanya, dua PPS di Dungun iaitu dewan Masjid Serdang dan Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Pati, Dungun, ditutup secara rasmi jam 9 pagi ini.

" Seramai 112 mangsa daripada 33 keluarga yang berlindung di dua PPS berkenaan dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing," ujarnya.

Banjir gelombang ketiga yang berlarutan sejak lapan hari lalu telah menjejaskan lebih 10,000 mangsa di semua lapan daerah di Terengganu.

Bagaimana pun JPBNT memaklumkan pihaknya sentiasa bersiap siaga menghadapi banjir gelombang yang seterusnya memandangkan musim Monsun Timur Laut masih belum berakhir.