• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Banjir Makin Buruk di Terengganu, Mangsa Meningkat

KUALA TERENGGANU, 21 November - Keadaan banjir di Terengganu bertambah buruk dengan jumlah mangsa banjir di hari kedua  meningkat kepada 1,482  mangsa daripada  410 keluarga setakat pukul 10 pagi ini.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri  berkata setakat ini, sebanyak 14 pusat pemindahan sementara (PPS) di empat daerah iaitu tujuh di Kuala Nerus, empat di Kuala Terengganu, dua di Setiu dan satu di Marang.

Katanya dalam kenyataan  itu, daerah Kuala Nerus menjadi daerah paling teruk terjejas dengan seramai 722 mangsa daripada 193 keluarga sudah dipindahkan ke tujuh PPS yang telah diaktifkan di sana.

“Sebanyak tujuh PPS yang dibuka di Kuala Nerus ialah Dewan Serbaguna Kampung Tok Jembal, Dewan Flat Batin Perdana, Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Tunggal, SK Bukit Nanas, SK Teluk Ketapang, Dewan Sivik Batu Rakit dan SK Tok Jembal.

“Di Kuala Terengganu pula, jumlah mangsa ialah seramai 602 mangsa daripada 179 keluarga yang ditempatkan di empat PPS iaitu di SK Chendering, SK Atas Tol, SK Pasir Panjang dan SK Gong Tok Nasek.

“Di Setiu, terdapat dua PPS beroperasi iaitu Balai Raya Kampung Bintang dan Balai Raya Kampung Bari Besar yang menempatkan 26 mangsa daripada enam keluarga,” katanya.

Sementara itu, di Marang pula, terdapat satu PPS baru dibuka untuk 132 mangsa daripada 32 keluarga di SK Bukit Gasing.

Semalam, Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) telah mengeluarkan ramalan cuaca hujan berterusan di Terengganu hingga Khamis ini.

Orang ramai dinasihatkan agar mendapatkan maklumat dan amaran semasa yang tepat melalui laman web JPS di pautan publicinfobanjir.water.gov.my, facebook @PubliclnfoBanjir dan twitter @JPS_InfoBanjir. 

Bagi maklumat cuaca pula, orang ramai boleh memuat turun aplikasi myCuaca untuk maklumat cuaca yang terkini dan sahih daripada MET Malaysia.