• 05 Mei 2024 | 26 Syawal 1445

Banjir : Nyawa Rakyat Lebih Utama Daripada Kempen

HULU TERENGGANU, 15 November - "Semua memang nak menang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15)  tapi yang penting ialah nyawa rakyat sekiranya berlaku banjir pada ketika itu bukannya meneruskan kempen," tegas Calon Perikatan Nasional (PN) Parlimen Hulu Terengganu (P038), Datuk Rosol Wahid.

Demikian reaksi beliau apabila ditanya strategi kempennya sekiranya Hulu Terengganu dilanda banjir menjelang hari membuang undi pada 19 November ini.

Katanya, keutamaan wajar diberi kepada persediaan banjir dan pengurusan mangsa bencana dan bukannya perebutan kuasa melalui pelaksanaan kempen.

"Saya tidak seharusnya mengangkat kepentingan diri, sebaliknya  peka dan sensitif dengan suasana semasa.

"Jadi kalau nak tukar antara menang dengan nyawa rakyat..bagi saya nyawa rakyat 'first' pilihan," ujarnya kepada pemberita selepas Majlis Santai Bersama Media di Warisan Pahlawan Resort, di sini hari ini.

Tambahnya, dia tetap akan berpegang kepada mengutamakan rakyat dalam apa jua situasi terutama perkara yang melibatkan nyawa serta keselamatan walaupun berhadapan dengan PRU15 yang sangat penting.

"Saya teringat kata-kata seorang tua bahawa atas dunia ini semua boleh cuba, nak makan ikan kelah boleh cuba, nak makan landak boleh cuba tetapi jangan sesekali cuba kematian," ujar beliau lagi.

Rosol juga berkata jika berlaku banjir mungkin Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) membatalkan pengundian untuk PRU15.

"Ini disebabkan kita ada lima hingga enam tempat pengundian sekiranya berlaku banjir...air akan naik terutama di Hulu Berang," jelasnya.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata SPR mempunyai hak untuk menangguhkan PRU-15 jika banjir besar berlaku sepanjang tempoh berkempen.

Katanya, perbincangan lanjut akan dibuat sekiranya keadaan mendesak dan PRU-15 tidak dapat dilaksanakan kelak.