• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Banjir: Patuhi SOP Covid-19 Ketika Berada di PPS

HULU TERENGGANU, 26 Disember - Polis menasihatkan mangsa-mangsa banjir yang berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) mematuhi prosedur operasi standard (SOP) susulan peningkatan kes Covid-19 ketika ini.

Timbalan Ketua Polis Terengganu, Datuk Wan Rukman Wan Hassan berkata setiap PPS ada menyediakan pegawai dan kakitangan kesihatan untuk pantau mangsa banjir.

"Jadi bila mangsa tiba untuk daftar, pegawai terbabit akan buat pemeriksaan lebih awal dan pemantauan ketat terhadap tahap kesihatan mereka.

"Kalau tahap kesihatan mangsa banjir kurang memuaskan kita cadangkan mereka dirujuk ke hospital untuk rawatan lanjut",katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat pemantauan ke PPS Kampung Bukit Tok Bat, di sini hari ini.

Dalam masa sama, beliau menasihatkan orang ramai  yang sedang bercuti di luar kawasan dan rumah mereka terjejas dengan banjir, menghubungi pihak berkuasa supaya dapat memantau kediaman mereka.

"Mangsa banjir tidak perlu bimbang tentang keselamatan (harta benda) kerana kita beri jaminan pemantauan akan dilakukan setiap masa," ujarnya.

Banjir yang melanda Terengganu sejak empat hari lalu semakin buruk apabila 10,278 mangsa dipindahkan membabitkan 2,791 keluarga dan 134 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) buka setakat jam 12.00 tengahari tadi.