lightning-solid
Berita :
Banjir Teguhkan Ukhuwwah Rakyat Terengganu
Banjir Teguhkan Ukhuwwah Rakyat Terengganu
Zahid Mustafar
03 Dec 25
13

KUALA TERENGGANU, 3 Disember – Musibah banjir yang melanda negeri ini bukan sekadar ujian, malah membuka ruang memperkukuh ukhuwwah masyarakat apabila pelbagai pihak tampil berganding bahu membantu mangsa terjejas, sekali gus mencerminkan keteguhan solidariti rakyat Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim berkata, bencana yang berlaku mengajar masyarakat untuk kekal reda, bersabar dan melihat setiap dugaan sebagai ketentuan Ilahi yang membawa hikmah tersendiri.

"Musibah banjir ini, dia ada hikmah tersendiri, mangsa banjir mesti menjadi orang yang redha dan sabar menerima ujian, sebab semua perkara yang berlaku telah ditentukan oleh Allah taala, kita terima dengan redha.

"Dan disebalik mangsa banjir itu, ada mangsa banjir dan ada pihak lain juga yang menjadi penyumbang untuk membantu mangsa banjir termasuklah syarikat-syarikat korporat, badan-badan NGO, badan kerajaan sendiri melalui JKM, Bomba, PDRM, dan individu perseorangan," katanya.

SAI_2517 .jpg 364.85 KB
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program Jom Sedekah Bantuan Banjir, di Giant Kuala Terengganu semalam.

Turut hadir, Ketua Jabatan Hal Ehwal Korporat dan Kerajaan GCH Retail Malaysia Sdn Bhd, Azahari Mohamed Noh; Pengurus Besar Giant Hypermarket Kuala Terengganu, Izri Shahril Ishak; Ketua Unit Inter-Agensi, AMLA dan Harta Intelek Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Terengganu, Yusrizal Mohd Salleh.

Beliau menjelaskan, keterlibatan berterusan pelbagai agensi, pertubuhan dan individu dalam misi bantuan menunjukkan hubungan erat antara golongan yang membantu dan yang dibantu, sekali gus mengukuhkan kekuatan sosial masyarakat.

"Jadi wujud beberapa golongan yang sentiasa berkolaborasi ini sebenarnya bukti keakraban dan ukhuwwah yang wujud dalam masyarakat.

"Dari situ lah sebenarnya, bila berlaku hubungan diantara orang yang dibantu dan orang membantu, sebenarnya akan membina kekuatan masyarakat," ujarnya.


Artikel Berkaitan