• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Banjir Terengganu Makin Teruk, 5,170 Mangsa Terpaksa Pindah

KUALA TERENGGANU, 25 Disember – Jumlah mangsa di negeri ini terus meningkat kepada 5,170 orang daripada 1,382 keluarga yang terpaksa berpindah ke 84 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di enam daerah.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri berkata enam daerah tersebut melibatkan Marang, Dungun, Besut, Hulu Terengganu, Kemaman dan Setiu.

“Setakat jam 10.30 malam, daerah Dungun mencatatkan mangsa paling ramai iaitu 1,340 orang daripada 350 keluarga yang ditempatkan di 22 PPS,” menurutnya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, Besut dan Kemaman merupakan daerah terbaharu yang terjejas banjir dengan merekodkan jumlah mangsa seramai 1,155 dan 516 orang dari 245 dan 153 keluarga yang dibawa ke 23 PPS.

“Hulu Terengganu antara daerah teruk dilanda banjir yang merekodkan seramai 1,494 mangsa daripada 456 keluarga yang ditempatkan di 19 PPS.

“Marang dan Setiu pula merekodkan seramai 18 dan 647 mangsa daripada empat dan 174 keluarga yang berlindung di 17 PPS dalam daerah tersebut,” jelasnya.

Ketika ini, hujan lebat masih melanda beberapa tempat di Terengganu.

“Orang ramai diingatkan agar sentiasa berhati-hati dan tidak bermain di kawasan banjir selain terus mematuhi prosedur operasi standard ditetapkan,” ujarnya.

 

 

 

 

 

 

 

 


Tag: