• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Bantuan Banjir Diagih Sepenuhnya Selepas Terima DKKP

KUALA TERENGGANU, 10 Mei - Kerajaan negeri masih menunggu baki Dana Khas Kerajaan Persekutuan (DKKP) atau royalti petroleum bagi menyelesaikan agihan bantuan banjir kepada mangsa yang belum menerima bantuan tersebut.

Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kelewatan penerimaan DKKP itu antara punca kerajaan negeri masih belum lagi dapat menyelesaikan bayaran bantuan banjir sepenuhnya terutama di daerah Besut yang paling terjejas. 

"Selepas kerajaan negeri menerima wang itu daripada kerajaan pusat, barulah bantuan banjir yang belum diselesai akan diagihkan secara serentak pada tarikh yang ditetapkan

"Terdapat dua jenis kategori bantuan yang dijanjikan untuk mangsa banjir iaitu satu daripada kerajaan pusat yang disalurkan kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) manakala satu lagi bantuan kerajaan negeri," ujarnya ketika ditemui pemberita di majlis sambutan hari raya Aidilfitri Kelab Wisma Darul Iman di Dewan Besar Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Pada Mac lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa DKKP akan dibayar seperti biasa ke Terengganu iaitu pada bulan Mac dan September.

Namun, sehingga kini Ahmad Samsuri berkata, Terengganu masih belum bayaran penuh DKKP bagi bulan Mac sebagaimana dijanjikan.

Tambah beliau, selain masih menunggu wang daripada kerajaan pusat, masalah kelewatan agihan juga disebabkan masih ada lagi pertindihan tuntutan bantuan banjir.

"Kita dapati masih ada lagi pertindihan tuntutan suami isteri...rumah yang sama tapi buat tuntutan berasingan di PPS berbeza menyebabkan kita terpaksa buat semakan yang sangat teliti," jelasnya.

Katanya, bantuan banjir hanya akan dapat diselesaikan untuk semua mangsa selepas kerajaan negeri menerima duit DKKP dan selepas proses pemutihan yang kini sedang berjalan selesai sepenuhnya.