• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Bantuan Banjir RM6.4 Juta Lebih Disalurkan Bermula Esok

KUALA TERENGGANU, 25 Februari – Kerajaan negeri akan menyalurkan bantuan banjir sekali bayaran berjumlah RM500 kepada setiap Ketua Isi Rumah (KIR) bermula sabtu, 27 Februari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, sumbangan keseluruhan bernilai RM 6,406,500.00 kepada 12,813 KIR di seluruh negeri akan dimulakan di daerah Kemaman dengan perasmian disempurnakan oleh Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

“150 penerima akan menerima bantuan pada majlis di daerah yang boleh dikatakan paling terjejas akibat musim banjir pada Januari lalu.

“Manakala dalam 8,300 mangsa banjir di seluruh Terengganu akan mendapat bantuan dalam bentuk wang melalui Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) di daerah masing-masing.

“Peruntukan hampir RM7 juta ini melibatkan mangsa yang terjejas akibat banijr pada akhir tahun lepas dan awal Januari,” katanya ketika ditemubual pemberita.

Beliau berkata demikian selepas mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) di Wisma Darul Iman, pagi semalam.

Tambah beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai, bagi setiap daerah adalah di bawah Pejabat Daerah kemudian diagihkan di Pejabat DUN masing-masing oleh wakil rakyat atau pegawai penyelaras berkenaan.

“Insya-Allah, pembayaran akan selesai dilunaskan pada minggu hadapan.

“Jumlah mangsa yang paling ramai adalah di Kemaman, iaitu di DUN Chukai dan DUN Air Putih dengan jumlah keseluruhan mangsa di Chukai seramai kira-kira 3,200 orang,” tambahnya.