• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Bantuan Banjir Terengganu Mula Diagih Berperingkat

KUALA TERENGGANU, 13 April - Bantuan tunai kerajaan negeri RM1,000 kepada 17,000 ketua isi rumah (KIR) yang terjejas banjir baru-baru ini mula diagihkan melalui Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing sejak dua hari lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, pembayaran tersebut diberikan secara berperingkat kepada mangsa yang tinggal di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dahulu.

"Pembayaran ini akan mengambil masa tiga atau empat hari untuk diselesaikan dan saya bagi pihak kerajaan negeri memohon maaf atas kelewatan menyalurkan bantuan ini kerana faktor-faktor yang tidak dapat dielakkan.

"Kita melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) terpaksa melakukan pemutihan senarai mangsa semula selepas berlaku tuntutan bertindih.

"Contohnya, kita mengesan ada pasangan yang mendaftar PPS berlainan seperti suami di PPS A dan isteri di PPS B," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Bantuan Pengurusan Kelab Warga Emas YPKT Tahun 2023 di Dewan Utama YPKT di sini semalam.

Jelasnya, baki 17,000 lagi melibatkan mangsa yang tidak berpindah ke PPS akan dibayar selepas menerima kewangan yang dijanjikan Kerajaan Persekutuan.

"Mereka ini tidak berpindah atau tinggal di PPS tetapi tetap akan menerima bayaran RM1,000 selepas kerajaan negeri mendapat dana tersebut," ujarnya.

Sementara itu, mengulas tentang bantuan kerajaan pusat sebanyak RM50 juta, Hanafiah berkata Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) telahpun membuat agihan bayaran.

Namun katanya, peruntukan itu tidak mencukupi dan masih ramai mangsa yang belum menerimanya.

"Saya difahamkan pembahagian bantuan mengikut data yang ada dengan pihak NADMA dan bukan dari pihak kerajaan negeri menjadi salah satu faktor masih ramai yang belum menerimanya.

"JPP ada membuat permohonan dana tambahan kepada kerajaan pusat dan masih menunggu keputusan tersebut," katanya.