• 16 Apr 2024 | 7 Syawal 1445

Bantuan Banjir Terengganu Mula Disalurkan Kepada Mangsa Terlibat

KEMAMAN, 28 Februari - Bantuan banjir bagi 12,000 mangsa bencana itu di negeri Terengganu diluncurkan oleh kerajaan negeri, bermula semalam.

Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar memaklumkan, kerajaan negeri memperuntukkan sejumlah RM6.4 juta berupa bantuan tunai sebanyak RM500 kepada setiap ketua isi rumah bagi membantu mereka.

"Alhamdulillah, hari ini kita mula menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir selepas kelima-lima fasa bencana itu berakhir, baru-baru ini.

"Tentu sumbangan ini tidak mampu menyelesaikan masalah tetapi diharapkan dapat meringankan beban semasa yang ditanggung mereka. Dan, pada masa sama, semua wakli rakyat dan agensi akan terus memberikan bantuan dari masa ke masa," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan penyampaian bantuan banjir kepada 160 mangsa bencana di daerah Kemaman, semalam.

Turut hadir, Pegawai Kewangan Negeri , Dato' Zainal Abidin Hussin serta Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional, Hanafiah Mat.

Dr. Samsuri juga menyatakan, bantuan kerajaan Persekutuan akan turut disampaikan melalui tabung bantuan kepada mangsa-mangsa terbabit. 

Tambahnya, keseluruhan bantuan tersebut akan disalurkan ke setiap daerah terlibat, Isnin ini.