• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Bantuan PKP, PKPD Diagih Secara Telus

BESUT, 28 Mei – Kerajaan Terengganu memberi jaminan bahawa agihan bantuan kepada rakyat yang berdepan dengan situasi terdesak akibat wabak COVID-19 terutama di daerah Besut, dibuat secara telus.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, di Dewan Undangan Negeri (DUN) beliau, setiap tugasan yang diberikan kepada Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Dan Keselamatan Kampung (JPKK) akan dipantau perlaksanaannya.

Malah jelasnya, laporan mesti dihantar ke Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk direkodkan.

"Mohon jangan ada pihak terlalu mudah buat tohmahan tanpa bukti bahawa agihan tidak telus, ‘Tok Ngulu’ makan sendiri, ‘Tok Ngulu’ bagi anak beranak dan sebagainya.

"Kalau ada bukti, saya terbuka untuk terima dan buat tindakan pembetulan. Setiap kelemahan mesti diperbaiki," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengagihkan bekalan barangan bantuan sempena PKPD Besut di setiap rumah Pengerusi JPKK Dun Jabi, semalam.

Ujar Dr Azman, bilangan keluarga yang dikuarantin di Jabi semakin meningkat, sehubungan dengan itu pihaknya akan menyelesaikan dulu agihan bekalan untuk mereka yang tidak dapat keluar rumah kerana dihadkan pergerakan.

"Untuk meminimakan pergerakan, ‘Tok Ngulu’ hanya perlu tunggu di rumah. Saya akan menghantar barang untuk diagihkan kepada penerima yang telah disenaraikan.

"Ingatan kepada 'Tok Ngulu' jangan ada seorang pun anak buah kita yang memerlukan pertolongan tercicir daripada menerima bantuan. Kena perhatikan sebaiknya dalam kampung masing-masing. Slogan PKPD kita, biar sama lapar sama kenyang," katanya.

Tambahnya, bantuan sebanyak RM400,000 yang diluluskan Kerajaan Negeri untuk Besut baru-baru ini sedang dan akan diberikan kepada mereka yang memerlukan.

"PKPD mungkin berlanjutan melihat kepada situasi kes sekarang. Kita perlu rancang program bantuan sebaiknya agar memberi manfaat dengan tepat kepada sasaran dalam tempoh PKPD berkuatkuasa.

"Dalam masa yang sama, Pejabat ADUN Jabi  menggunakan sumber-sumber tambahan lain agar keperluan rakyat mampu dipenuhi dalam situasi mendesak sekarang," tambah beliau.

Tegasnya, setiap sen yang dibelanjakan adalah direkodkan dengan laporan lengkap perlu dihantar kepada pentadbiran negeri.