• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Bantuan Segera Untuk Penduduk PKPD Kubang Palas

HULU TERENGGANU, 27 Julai - Seramai 236 keluarga di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran di Kampung Kubang Palas, Kuala Telemong menerima bantuan segera berupa pek bakul makanan, baru-baru ini.

Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Telemong, Mohd Safari Abu berkata, bantuan bakul makanan itu bagi meringankan beban penduduk yang terlibat PKPD.

Katanya, pelaksanaan PKPD Pentadbiran di kawasan berkenaan menyebabkan penduduk yang terlibat tidak dapat keluar untuk bekerja  dan membeli barangan keperluan.

"Dalam tempoh begini, kita perlu memastikan penduduk terlibat mempunyai bekalan makanan mencukupi.

"Saya juga memohon kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) untuk melihat keperluan penduduk di kawasan PKPD tersebut," katanya selepas pengagihkan bantuan berkenaan, baru-baru ini.

Turut hadir, Pegawai Khas Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Pauzi Yusoff, Penyelia i-MiTS DUN Telemong, Ustaz Mohamad Yusuf Abdullah, Penghulu Kanan Hisham Talib dan Penghulu Mukim Kuala Telemong, Mohd Fadhli Ramli.

Tambahnya lagi, beliau turut berterima kasih kepada Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Dato Rosol Wahid kerana turut menyumbang sebanyak 120 pek bakul makanan keperluan dapur dalam bantuan tersebut.

"Saya berharap, sepanjang tempoh PKPD dilaksanakan, agihan secara berperingkat-peringkat turut dilaksanakan untuk memastikan penduduk terlibat sentiasa  mempunyai bekalan makanan mencukupi," katanya.