• 30 Apr 2024 | 21 Syawal 1445

Banyak Lagi Projek 'Sakit' Zaman UMNO Akan Dibaik Pulih

MARANG, 19 Julai – Kerajaan Negeri sedang meneliti beberapa lagi projek terbengkalai di zaman UMNO untuk dibaik pulih.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kerajaan negeri sedang mengkaji terlebih dahulu mengenai projek tersebut sebelum mengambil tindakan sepatutnya.

“Hal ini kerana, disebabkan oleh pelbagai faktor seperti kekangan perundangan dan sebagainya.

“Insya-Allah senarai itu akan diketahui umum yang mana kita akan fokus selepas daripada ini,” jelasnya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu bertempat di Tapak SMIYT Marang, Kampung Tok Muchong, Marang di sini semalam.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Dato’ Satiful Bahri Mamat dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Penerangan dan Dakwah Negeri, Dato’ Mohd Nor Hamzah.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Samsuri menyambut baik keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang mengumumkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Terengganu diadakan serentak dengan PRN membabitkan enam negeri.

“Keputusan itu menjimatkan kos di pihak SPR kerana pilihan raya memerlukan kos besar.

“Jadi, bila buat serentak ini, dapat jimat duit SPR dan kerajaan pusat,” ujarnya.

Terdahulu, Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani yang mengumumkan PRK Kuala Terengganu diadakan serentak dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos depan.

 

 


Tag: