• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Bayaran DKKP : Terengganu Pegang Janji PM

KUALA TERENGGANU, 22 Mac - Kerajaan negeri berpegang kepada janji Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim bahawa Dana Khas Kerajaan Persekutuan (DKKP) akan dibayar seperti biasa dan optimis diberi sebelum berakhir Mac.

Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, janji telah dimeterai hasil pertemuan antara beliau dan Anwar sebelum ini.

"Dalam proses, Mac tidak berakhir lagi, jadi kita sama-sama berdoa supaya tiada apa-apa masalah. Mungkin malam ini (terima), mungkin esok, masih belum diketahui.

"Tengok saya senyum sahaja, sebagaimana biasa kita berharap (akan) dapat sebagaimana keputusan yang telah dibuat dan (perkara ini) telah disebut dalam buku bajet," ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang medianya selepas Majlis Penyerahan Bantuan One-Off Kepada Imam dan Bilal di Bawah Skim Mubaligh, di Perkarangan U2, di Wisma Darul Iman (WDI), di sini, hari ini.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan negeri, Tengku Seri Bijaya Raja dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah.

Mengulas mengenai bantuan imam dan bilal menerusi Skim Mubaligh itu, beliau berkata seramai 141 orang individu telah menerimanya.

"Melalui peruntukan sebanyak RM28,200 setiap orang menerima RM200," ujarnya.