• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Bayi 17 Bulan Maut Disyaki Didera Rakan Lelaki Ibu

BESUT, 9 November – Seorang bayi lelaki berusia setahun lima bulan maut dipercayai didera oleh teman lelaki kepada ibu mangsa.. 

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Muhammad berkata, pihaknya menerima laporan dari Klinik Kesihatan Kampung Raja, di sini pada 8 November yang memaklumkan mangsa meninggal dunia di klinik itu.

“Hasil siasatan awal mendapati bayi berkenaan telah diserahkan ibunya yang berusia 27 tahun kepada suspek pada Selasa lepas untuk dijaga pada kira-kira 4 petang.

"Mangsa kemudian dihantar semula kepada ibunya pada 7.30 pagi semalam bagaimanapun dalam keadaan tidak sedarkan diri selain mempunyai kesan lebam di beberapa anggota badan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Abdul Rozak, hasil bedah siasat awal di Hospital Sultanah Nur Zahirah mendapati terdapat kebocoran pada usus kecil mangsa yang dipercayai menyebabkan kematian bayi itu.

Namun begitu, beliau berkata,  punca kebocoran usus belum dapat dipastikan sama ada di sebabkan trauma atau jangkitan kuman dan memerlukan sampel di hantar ke makmal.

Susulan itu, polis telah menahan ibu mangsa yang merupakan ibu tunggal bagi membantu siasatan dan akan direman hari ini.Pihak polis juga sedang mengesan rakan lelaki suspek.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 31 (1) Akta kanak-kanak 2001 iaitu penganiayaan, pengabaian, pembuangan atau pendedahan kanak-kanak yang boleh disabitkan denda tidak melebihi RM 20,000 atau boleh dipenjara tidak melebihi 10 tahun atau keduanya.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes boleh menghubungi ibu Pejabat Polis Daerah Besut di talian 09-6956222," katanya.