• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Beberapa Daerah di Terengganu Berisiko Kembali Banjir

KUALA TERENGGANU, 14 Disember - Beberapa daerah di Terengganu berisiko dilanda gelombang banjir kali kedua hari ini berdasarkan Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) .

PRABN dalam kenyataan memaklumkan, ramalan itu dijangka bermula 8 pagi sehingga jam 2 petang hari ini.

Menurut kenyataan itu, hasil simulasi model Ramalan Trend Aras Air yang meramalkan kejadian banjir akibat limpahan air sungai boleh berlaku di kawasan terbabit sekiranya hujan yang signifikan terus berlaku di Terengganu.

Dua kawasan di daerah Besut yang diramalkan banjir adalah kawasan rendah dalam lingkungan 5 kilometer (km) di sekitar Stesen Sungai Besut di Jambatan Keruak dan di sekitar Kampung La.

Selain itu, PRABN turut mengeluarkan amaran banjir di daerah Hulu Terengganu dengan kenaikan paras air di Sungai Berang berpotensi menyebabkan banjir di kawasan rendah dalam lingkungan 5km di sekitar Stesen Sungai Berang di Kampung Menerong.

Di Kemaman, amaran sama turut dikeluarkan membabitkan kawasan rendah sekitar Stesen Sungai Tebak di Jambatan Tebak.

Dalam pada itu, di Dungun, iaitu penduduk di sekitar kawasan rendah dalam lingkungan 5km di sekitar Stesen Sungai Dungun di Jambatan Jerangau turut diminta berwaspada dengan kemungkinan banjir berlaku jika paras air sungai meningkat.

Kenyataan sama turut memaklumkan, banjir boleh berlaku lebih awal atau lewat dari masa yang dijangkakan.

Amaran berkenaan dikeluarkan bagi membolehkan semua penduduk terutama di kawasan yang dijangka banjir berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa atau agensi pengurusan bencana banjir.

Bagi mendapatkan maklumat lanjut, layari ayari laman sesawang https://publicinfobanjir.water.gov.my dan Facebook @PublicInfoBanjir.