• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Bekal Benih Padi Bukan Bidang Kuasa Kerajaan Negeri

KUALA TERENGGANU, 19 Mac - Proses membekalkan benih padi kepada petani adalah urusan Kerajaan Persekutuan di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, kerajaan Terengganu tidak mempunyai kuasa dalam perkara tersebut dan adalah tidak benar pihaknya mengagihkan kepada pihak tertentu sahaja.

"Ia di bawah bidang kuasa MAFI dengan sembilan syarikat pembekal benih padi berlesen dilantik dan tidak ada satu pun syarikat tersebut dari Terengganu.

"Urusan membekalkan benih padi kepada pesawah kemudian diuruskan oleh Pertubuhan Peladang Kebangsaan dan Pertubuhan Peladang Kawasan masing-masing. Tiada penglibatan Kerajaan Negeri dalam urusan ini," jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, kerajaan negeri juga tidak pernah menyediakan sebarang peruntukan untuk skim bantuan benih padi kerana skim subsidi benih padi telah disediakan MAFI. 

"Fakta ini saya nyatakan untuk menjawab fitnah yang tersebar kononnya Exco Pertanian Terengganu hanya agih bantuan benih padi kepada penerima tertentu sahaja dan tak adil dalam agihan. 

"Fakta yang sebenar ialah pihak Pertanian Negeri Terengganu tidak pernah mengagihkan sebarang bantuan benih padi kepada mana-mana petani kerana ia bukan kuasa kami," katanya.


Tag: