• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

Bekalan Air Kuala Nerus Pulih Sepenuhnya Esok

KUALA NERUS, 13 Ogos - Proses pembaikian kebocoran paip dasar sungai yang berjaya diselesaikan lebih awal membolehkan Syarikat Air Terengganu (SATU) menyalurkan bekalan air kepada penduduk terjejas, bermula hari ini.

Menteri Besar Terengganu yang juga Pengerusi SATU, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, hasil kerja keras semua pihak, kerja pembaikan dapat disiapkan dua hari lebih awal berbanding tarikh ditetapkan.

"Alhamdulillah, bekalan air mula disalurkan hari ini iaitu bermula jam 12.00 tengahari ini secara berperingkat.

"Manakala, bekalan air dijangka pulih 100 peratus sepenuhnya, esok," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media SATU di Loji Air Bukit Berangan, di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Inc, Burhanuddin Hilmi Mohamed@Harun, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dan pegawai-pegawai tinggi kerajaan.

Tambah Ahmad Samsuri, kerajaan negeri menzahirkan rasa terima kasih kepada semua pihak yang terlibat membantu sama ada dari dalam dan luar negeri.

"Penyelesaian kes ini adalah pencapaian yang bukan mudah untuk dijayakan.

"Apa yang berlaku akan memberi ilmu berguna kepada semua pihak untuk menghadapi krisis pada masa akan datang," katanya.

Beliau turut melakukan kunjungan ke pusat agihan bekalan air di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Nerus bagi melihat proses agihan yang dilaksanakan.

 


Tag: