• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Belanjawan 2021: Latihan Kemahiran Percuma Bagi Golongan Terjejas

KUALA TERENGGANU, 23 November- Memahami kebimbangan rakyat yang berdepan isu pengangguran akibat pandemik Covid-19, kerajaan Terengganu menawarkan peluang kepada rakyat negeri itu untuk mendapatkan latihan kemahiran secara percuma bagi meningkatkan tahap kemahiran diri serta meneroka bidang baru.

Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, penawaran tersebut merupakan strategi jangka masa panjang kerajaan negeri bagi meningkatkan kemahiran pekerja dalam bidang yang diceburi.

"Sebanyak RM7.52 juta diperuntukkan di bawah inisiatif ini bagi meningkatkan kebolehpasaran dan kebolehgajian golongan graduan, penganggur dan pekerja yang terjejas akibat diberhentikan, diberikan cuti tanpa gaji dan dipotong gaji.

"Bagi meningkatkan dan melatih semula kemahiran golongan ini, program perantisan, latihan keusahawanan dan kursus jangka pendek akan dilaksanakan secara usaha sama dengan pelbagai pihak," katanya sewaktu membentangkan Belanjawan 2021 pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di Wisma Darul Iman, hari ini.

Tambahnya, sebanyak lapan inisiatif diwujudkan antaranya ialah Terengganu Young Executive Program (TYEP), iaitu program latihan perantisan sebagai laluan kerjaya sebelum ke pasaran kerja.

Selain itu, latihan industri dan peluang pekerjaan kepada anak Terengganu terutamanya dalam bidang kemahiran, termasuk kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU) akan turut diadakan melalui T-JOB.

"Terengganu juga akan memperkasakan pusat kemahiran seperti TESDEC dan TATIUC bagi menjadikan Terengganu sebagai hub untuk pekerja mahir dan profesional dalam bidang-bidang strategik melalui Terengganu Training Program (TTP).

"Kita juga berusaha membangunkan keusahawanan T-VET dan membimbing bakal usahawan dalam penyediaan rancangan perniagaan dan kemahiran komunikasi dalam Kursus Keusahawanan Terengganu di bawah seliaan Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU)," katanya.

Inisiatif-inisiatif lain yang akan dilaksanakan kerajaan negeri ialah Program Jati Diri Generasi Sejahtera oleh Urusetia Belia, Sukan dan NGO Terengganu (UBSNT), Terengganu Skill Enhancement Program for School Leavers (TSEP-S), Program Transformasi Pekerja Itqan  melibatkan ikon anak Terengganu di perantauan yang berjaya dalam bidang masing-masing serta Karnival Pekerjaan 2021 bagiu dapat dimanfaatkan sepenuhnya rakyat Terengganu.

 

 


Tag: