• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Belanjawan 2021 : Peruntukan RM510 Juta, TEKUN Pacu Usahawan IKS

KUALA LUMPUR, 10 November - TEKUN Nasional akan terus memberikan komitmen sepenuhnya dalam membantu usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) melalui pembiayaan perniagaan.

Pengerusinya, Shaharizukirnain Abdul Kadir berkata, peruntukan sebanyak RM510 juta yang telah diumumkan dalam Belanjawan 2021 pada jumaat lalu menunjukkan kerajaan Perikatan Nasional komited membantu usahawan IKS yang terjejas mata pencarian akibat penularan wabak COVID-19.

"Pengumuman Kerajaan bagi menyalurkan lebih banyak peruntukan kepada TEKUN bagi tahun 2021 menunjukkan Kerajaan memberi keprihatinan yang konsisten kepada golongan usahawan dan PKS yang mengalami kemerosotan perniagaan akibat penguatkuasaan PKP.

"Justeru, sebagai Pengerusi TEKUN Nasional, saya akan berusaha bersungguh-sungguh bagi memastikan peruntukan yang besar ini dapat dimanfaatkan kepada rakyat sepenuhnya terutamanya kepada para usahawan dan PKS di negara ini," ujar beliau ketika ditemuramah wartawan hari ini.

Sebelum ini ujaranya, sebanyak hampir RM300 juta telah disalurkan kerajaan kepada TEKUN Nasional dalam menjana semula pertumbuhan ekonomi negara melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang menyasarkan peniaga dan usahawan IKS. 

"Kerajaan ada menyalurkan peruntukan RM200 juta melalui Dana Prihatin bagi Skim Pembiayaan Pemulihan Perniagaan Sektor Mikro (CBRM) manakala RM100 juta melalui Dana Penjana bagi Skim Pemulihan Perniagaan TEKUN (TBRS).

"Begitu juga, TEKUN Mobilepreneur 1.0 dan 2.0 bagi membantu golongan yang terlibat dengan aktiviti ekonomi Gig untuk membaikpulih dan membeli kenderaan baharu," tambah beliau.

Beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Setiu berkata, masyarakat India dan kaum wanita juga tidak ketinggalan dalam menerima faedah dari Belanjawan 2021 ini.

"Dalam usaha membantu golongan usahawan wanita, peruntukan pembiayaan berbentuk mikro kredit turut disalurkan kepada TEKUN Nasional, MARA dan Agrobank dengan jumlah RM95 juta.

"Peruntukan sebanyak RM20 juta bagi Skim Pembiayaan Usahawan Masyarakat India (SPUMI) dan selain itu dua skim baru diwujudkan iaitu RM5 juta untuk masyarakat Orang Asli dan Siam,"