• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Belanjawan 2021: Tabung Perumahan, RM50 Juta Disediakan

KUALA TERENGGANU, 23 November - Dalam menjamin kesejahteraan rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah (B40) di Terengganu, kerajaan negeri telah mengambil inisiatif mewujudkan Tabung Pinjaman Perumahan Rakyat Negeri Terengganu bermula tahun hadapan.

Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, inisiatif tersebut merupakan salah satu manifesto kerajaan negeri yang bertujuan untuk membantu rakyat membina rumah atas tanah sendiri dengan lebih mudah.

"Bagi menjayakan tabung pinjaman ini dan merealisasikan manifesto Kerajaan Negeri, sebanyak RM50 juta akan diperuntukkan," katanya ketika berucap membentang Belanjawan 2021 pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di Wisma Darul Iman, hari ini.

Tambahnya, Terengganu turut berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan kerana meluluskan tiga projek perumahan baharu melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) iaitu Projek Program Perumahan Rakyat (PPR) Bukit Gasing, Marang, PPR Bukit Puteri, Besut dan Projek Program Pemajuan Kawasan di Mak Kemas, Marang melibatkan kos sebanyak RM166.5 juta.

Dalam usaha mencapai sasaran 20,000 Rumah Mampu Milik (RMM) di Terengganu, kerajaan negeri juga berusaha menyediakan lebih banyak Rumah Darul Iman (RAHMAN) untuk golongan B40 melalui Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) selain Projek Perumahan Terengganuku Sejahtera (PPTS) bagi membaik pulih rumah yang mengalami kerosakan di seluruh DUN Negeri Terengganu.

 


Tag: