• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

KUALA TERENGGANU, 5 Disember – Walaupun terbatas kepada skala kecil dalam suasana COVID-19, warga belia tetap meneruskan inisiatif memberi bantuan dari rumah ke rumah kepada golongan yang memerlukan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, bersesuaian dengan Hari Kesukarelawanan Belia Malaysia Peringkat Negeri Terengganu 2020, pelbagai latar belakang anak muda terlibat menjayakan aktiviti itu.

“Alhamdullilah, hasil usaha sama agensi seperti sukarelawan Rakan Muda Kuala Terengganu dan Pasukan Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Mempelam ini telah menyantuni 30 orang asnaf di 30 buah rumah.

“Lokasi tumpuan kita bermula di Kampung Gong Pauh kemudian ke Kampung Kuala Bekah dan diakhiri di Kampung Sungai Rengas selepas Solat Jumaat,” katanya kepada pemberita selepas program Hari Kesukarelawanan Belia peringkat Kuala Terengganu, pagi semalam.

Turut hadir, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu, Mohd Izwandy Ismail dan Pengerusi Majlis Belia Daerah Kuala Terengganu, Anas Hazizul.

Wan Sukairi yang juga ADUN Wakaf Mempelam menyatakan rasa terima kasih kepada sukarelawan yang terlibat dalam memberi kesedaran dan mengalakkan aktiviti kesukarelawanan dan kemanusiaan di dalam negeri.

Sementara itu, menurut Izwandy, program tersebut merupakan usaha daripada Kementerian Belia dan Sukan  serta kerajaan negeri bagi menggalakkan dan melahirkan sukarelawan di kalangan belia bersama komuniti.

“Sebagai mana sedia maklum, 5 Disember ialah Hari Kesukarelawanan Belia Malaysia dan di peringkat negeri kita telah merangka usaha ini bersama Exco dan agensi-agensi pelaksana lain Urusetia Belia dan Sukan Negeri Terengganu, Majlis Belia Terengganu dan sukarelawan di dalam Kelab Rakan Muda Kuala Terengganu.

“Program menyantuni melibatkan 25 sukarelawan belia ini adalah usaha peringkat akar umbi dalam menanam semangat sukarelawan yang jitu di kalangan anak muda supaya semangat ini dapat kita kekalkan dalam usaha berbakti dari semasa ke semasa,” katanya.

Seorang penerima, Saudah Ngah,60, yang juga nenek kepada 15 cucu menyifatkan usaha belia ini sesuatu yang amat baik terutamanya mendidik orang muda berbakti kepada masyarakat setempat.