• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Berbuka Puasa Di Puncak Bukit Maras Jadi Pilihan Terbaharu

KUALA NERUS, 11 April – Orang ramai kini boleh mencuba pengalaman berbuka puasa di atas puncak Bukit Maras berlatar belakang panorama indah alam semula jadi berbanding menikmati juadah di hotel-hotel mahu pun di kawasan lapang

Tarikan terbaharu itu menawarkan satu keunikan berganda buat mereka yang gemar berbuka di luar selain tepi pantai, taman awam dan  kawasan lapang berhampiran drawbridge.

Seorang pengunjung, Mohd. Shobri Ahmad, 45, dari Shah Alam, Selangor berkata, kedatangan ke negeri ini atas urusan kerja berbaloi apabila dapat merealisasikan impian keluarga sejak sekian lama untuk berbuka di atas bukit.

Katanya, isteri, Haryati Abd. Ghani, 40, bersama ibu mentua dan empat anaknya yang berusia antara tujuh hingga 16 tahun cukup teruja dapat berbuka di lokasi berkenaan di samping berpeluang menaiki kenderaan pacuan empat roda hingga ke puncak.

“Saya ada melihat pakej berbuka di Bukit Maras dan teringin untuk mencuba kerana lain daripada lain sebab sudah biasa makan di hotel atau di padang.

“Saya tidak sangka Terengganu memiliki ‘port’ berbuka di kawasan alam semula jadi menarik tanpa perlu ke bangunan tertinggi atau menara, malah emak dan anak-anak berselera makan menu kampung yang disediakan hingga berulang kali menambah nasi,” katanya .

Menurut Mohd. Shobri, mereka sekeluarga dibawa naik ke Bukit Maras pada pukul 5.30 petang dan dapat meluangkan masa selama tiga jam sebelum dibawa turun pada pukul 8.30 malam.

Katanya, Terengganu merupakan negeri yang sentiasa dikunjungi keluarganya saban tahun dan kali ini dia tidak menolak kemungkinan untuk kembali semula ke negeri ini pada Ramadan tahun depan bagi menikmati suasana berbuka di puncak Bukit Maras. 

Pakej berbuka puasa di Bukit Maras
* RM95 untuk seorang/ minimum sekeluarga empat orang (termasuk khidmat pengangkutan kenderaan pacuan empat roda ke puncak).
* Menu: Nasi putih, gulai daging kawah, ayam masak merah, telur masin, ulam, sambal, buah tembikai, martabak, kurma, kuih tradisi, teh tarik dan sirap limau.
* Berkumpul di kaki bukit pada pukul 5 petang dan turun semula antara pukul 8 hingga 10 malam (berdasarkan kepada permintaan pengunjung).